Sabtu, 15 Februari 2020 | 8:55pm
Ko Wing-man mahu mengemukakan usul bagi menggesa pengharaman pemburuan dan pemakanan hidupan liar. - Foto China Daily
Ko Wing-man mahu mengemukakan usul bagi menggesa pengharaman pemburuan dan pemakanan hidupan liar. - Foto China Daily

Bekas Ketua Kesihatan HK syor haramkan memburu, memakan haiwan liar

HONG KONG: Bekas Ketua Kesihatan Hong Kong, Ko Wing-man, mahu mengemukakan usul pada Sesi Dua yang akan datang di Beijing, China bagi menggesa pengharaman pemburuan dan pemakanan hidupan liar.

Beliau menegaskan, sudah tiba masanya perkara itu diberi perhatian terutama berikutan penularan wabak coronavirus (COVID-19) yang disahkan berpunca daripada hidupan liar seperti kelawar dan ular.

Ko adalah bekas Setiausaha Kerajaan bagi Makanan dan Kesihatan, yang kini menganggotai badan penasihat politik utama Hong Kong dalam Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC).

Beliau berhasrat mengemukakan usul itu bersama seorang lagi perwakilan CPPCC, Cheung Chi-kong, dari One Country, Two Systems Research Institute.

Ko memainkan peranan utama dalam usaha memerangi wabak SARS di Hong Kong pada 2003, ketika masih bekerja dengan Pihak Berkuasa Hospital di sana.

Beliau berkata, kedua-dua virus SARS dan COVID-19 berpunca daripada amalan pemakanan dan pemburuan haiwan liar.

“Meskipun orang Cina gemar memakan haiwan eksotik seperti musang dan tenggiling, masalah utamanya ialah haiwan berkenaan banyak diburu serta disimpan dalam sangkar kecil untuk dijual atau digunakan.

"Sekiranya seekor daripada haiwan terkena jangkitan, ia lebih mudah menjangkiti haiwan lain di dalam sangkar dan juga penjual daging," katanya.

Bagaimanapun, Ko memaklumkan beliau belum pasti sama ada mesyuarat tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan iaitu badan perundangan tertinggi negara dan CPPCC akan diteruskan atau sebaliknya, susulan penularan wabak berkenaan.

Mesyuarat CPPCC dan NPC dijadualkan dua hari bermula pada 3 Mac ini.

Malah, perwakilan dari Hong Kong dan timbalannya masih belum dimaklumkan sama ada mesyuarat bagi kedua-dua sesi itu akan diadakan seperti mana dijadualkan, berikutan wujud kebimbangan dalam aspek kesihatan. - AGENSI

Berita Harian X