Ahad, 9 Februari 2020 | 6:28pm

Gempa 6.2 magnitus landa Papua New Guinea

SYDNEY: Gempa 6.2 magnitud melanda Papua New Guinea (PNG) hari ini, kata Peninjau Geologi Amerika Syarikat (USGS), tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan dan setakat ini tidak ada laporan kerosakan.

Gempa itu melanda hanya sejurus selepas jam 4 petang waktu tempatan (0600GMT) pada kedalaman 31 kilometer (km) kira-kira 122 km di selatan Kokopo, ibu kota PNG di wilayah East New Britain, kata USGS.

Ahli seismologi kanan Geosains Australia, Trevor Allen, berkata komuniti pesisir berhampiran pusat gempa itu akan merasakan "gempa bumi yang kuat" kerana pusat gempa itu dekat dengan pantai.

Tetapi, katanya, kawasan itu secara relatif jarang diduduki dan reka bentuk bangunan fleksibel tempatan membantu mengehadkan pendedahan kepada kerosakan akibat gempa bumi.

"Wilayah East New Britain adalah salah satu kawasan paling aktif aktiviti seismik di dunia dan pada amnya cenderung untuk mendapatkan gempa saiz ini sekali atau dua kali setahun," katanya kepada AFP.

Seorang penyambut tetamu di Kokopo Beach Bungalow Resort, Miriam Koikoi, memberitahu bahawa goncangan itu "tidak begitu besar" dan dia tidak melihat tanda-tanda kerosakan.

PNG terletak di kawasan yang dinamakan Lingkaran Api Pasifik, yang adalah titik panas bagi aktiviti seismik akibat geseran antara plat tektonik.

Kawasan pergunungan dan terpencilnya bermakna ia sering mengambil masa beberapa hari untuk mendapatkan maklumat mengenai kerosakan dari gempa bumi untuk sampai kepada pegawai dan agensi bantuan. - AFP

Berita Harian X