Khamis, 6 Februari 2020 | 10:47am
Tiga mangsa meninggal dunia di hospital akibat nahas ini, manakala 179 daripada 183 penumpang dan kru pesawat Pegasus Airlines cedera. - Foto Reuters
Tiga mangsa meninggal dunia di hospital akibat nahas ini, manakala 179 daripada 183 penumpang dan kru pesawat Pegasus Airlines cedera. - Foto Reuters
Pesawat Pegasus Airlines membawa 177 penumpang dan enam kru dari wilayah barat Izmir, tergelincir dari hujung landasan yang basah. - Foto AFP
Pesawat Pegasus Airlines membawa 177 penumpang dan enam kru dari wilayah barat Izmir, tergelincir dari hujung landasan yang basah. - Foto AFP

3 maut, 179 cedera pesawat tergelincir daripada landasan

ISTANBUL: Tiga maut dan 179 lagi cedera apabila sebuah pesawat Pegasus Airlines tergelincir dari hujung landasan yang basah serta terbelah kepada tiga bahagian selepas mendarat di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen, di sini, pada Rabu, kata Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca.

Bercakap kepada pemberita di wilayah timur Van, Koca berkata, tiga mangsa meninggal dunia di hospital akibat nahas itu, manakala 179 daripada 183 penumpang dan kru pesawat terbabit cedera.

Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya, terdahulu berkata pesawat itu membawa 177 penumpang dan enam kru dari wilayah barat Izmir.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dirawat di 18 hospital sekitar kawasan berkenaan.

“Pesawat itu tidak dapat bertahan di atas landasan berikutan keadaan cuaca yang buruk dan tergelincir kira-kira 50 hingga 60 meter,” kata Yerlikaya kepada pemberita di lapangan terbang terbabit.

Pesawat berkenaan, Boeing 737-86J, terbelah kepada tiga bahagian selepas kejadian yang menurut Yerlikaya, jatuh kira-kira 30 hingga 40 meter di hujung landasan yang basah.

Anggota penyelamat di lokasi nahas pesawat Pegasus Airlines yang tergelincir di Istanbul. - Foto AFP
Anggota penyelamat di lokasi nahas pesawat Pegasus Airlines yang tergelincir di Istanbul. - Foto AFP

Tiga maut dan 179 lagi cedera dalam nahas pesawat Pegasus Airlines tergelincir di landasan. - Foto Reuters
Tiga maut dan 179 lagi cedera dalam nahas pesawat Pegasus Airlines tergelincir di landasan. - Foto Reuters

Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa nahas. - Foto AFP
Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa nahas. - Foto AFP

Rakaman menunjukkan pesawat terbabit mendarat dan tergelincir dari landasan pada kelajuan yang tinggi.

Menteri Pengangkutan, Cahit Turhan, berkata pesawat lain yang menunggu untuk mendarat di Sabiha Gokcen, dilencongkan ke Lapangan Terbang Istanbul susulan kejadian itu.

Menurut Pegasus Airlines dalam satu kenyataan, pesawat itu tergelincir daripada landasan sebelum penumpangnya dikeluarkan. Jurucakap syarikat itu bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut.

NTV melaporkan, pesawat berkenaan cuba untuk mendarat meskipun dua penerbangan sebelum itu menangguhkannya berikutan angin kencang.

Siaran rakaman menunjukkan badan dan bahagian berhampiran ekor pesawat itu terputus.

Penumpang dibawa keluar selepas pesawat itu terhenti di kawasan berumput bersebelahan landasan.

Puluhan anggota pasukan tindak balas kecemasan membawa penumpang keluar dari pesawat itu dan meletakkan mereka di atas pengusung.

Rakaman awal menunjukkan sesetengah bahagian luar pesawat itu terbakar, yang menurut media, kemudian dipadamkan oleh pasukan bomba.

Turkish Airlines memaklumkan, pihaknya membatalkan semua penerbangan masuk dan keluar dari Sabiha Gokcen pada hari kejadian. - REUTERS

Berita Harian X