Isnin, 27 Januari 2020 | 9:13pm
Pesawat Ariana Afghan Airline.
Pesawat Ariana Afghan Airline.

Pesawat terhempas di Kabul, tersasar landasan di Tehran

KABUL: Sebuah pesawat dikendalikan sistem pengangkutan udara Afghanistan, Ariana, terhempas di Ghazi, hari ini.

Jurucakap Gabenor Wilayah Bandar Ghazi, Ari Noori, berkata, pesawat Boeing milik Ariana Afghan Airline itu terhempas di Sado Khel dalam daerah Deh Yak, kira-kira jam 1.10 waktu tempatan tetapi jumlah mangsa nahas belum diketahui.

Dalam kejadian berasingan di Tehran, AFP melaporkan, sebuah pesawat penumpang Iran hari ini, tersasar daripada landasan ketika mendarat di barat daya Kota Bandar-e Mahshahr ke lebuh raya berhampiran.

Ketua Pihak Berkuasa Penerbangan Wilayah Khuzestan, Mohammadreza Razaeia, mengesahkan semua penumpang dan kru terselamat.

"Ketika tiba di Lapangan Terbang Mahshahr, juruterbang terlewat mendaratkan pesawat hingga menyebabkan ia tersasar daripada landasan.

"Ini menyebabkan pesawat terlajak dan mendarat di boulevard, bersebelahan lapangan terbang berkenaan ," katanya.

Jet McDonnell Douglas milik syarikat penerbangan Iran, Caspian Airlines itu membawa 135 penumpang dan anak kapal, dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Mehbarabad di Tehran.

Seorang wartawan penyiaran tempatan yang menaiki penerbangan itu memberitahu 'roda belakang kapal terbang itu patah' kerana ia dilihat ditinggalkan di landasan, selain pesawat bergerak tanpa roda sebelum ia mendarat.

Pihak berkuasa penerbangan Iran pula berkata, punca kejadian masih dalam siasatan. Reuters/AFP

Berita Harian X