Jumaat, 17 Januari 2020 | 8:33pm
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi.

Jangan mempolitikkan nahas pesawat Ukraine

DUBAI: Semua negara yang terbabit dalam nahas pesawat Ukraine di Iran perlu mengelak daripada menjadikannya isu politik.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi, meminta semua pihak tidak memperalatkan isu kemanusiaan, terutama berkaitan kemalangan tragik itu, sebagai batu loncatan untuk meraih keuntungan politik peribadi.

“Iran sudah memberi kerjasama erat kepada semua negara yang rakyatnya terbunuh dalam nahas itu,” katanya menurut laporan agensi berita ISNA.

Lima negara yang rakyatnya terbabit dalam nahas pesawat itu sudah menuntut pampasan setimpal daripada Tehran untuk keluarga mangsa, ketika dunia terus memerhatikan tindak balas Iran dalam mendepani isu itu.

Lima negara, Kanada, Ukraine, Sweden, Afghanistan dan Britain, dalam satu perjumpaan di London, menuntut Iran menjalankan siasatan antarabangsa yang telus, bebas serta terbuka.

Pegawai kanan pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) sebelum ini mengakui pihaknya secara tidak sengaja menembak jatuh sebuah pesawat Ukraine, menyebabkan 176 orang terbunuh.

Mousavi berkata, adalah aneh untuk Kementerian Luar Kanada meminta akses konsular berkaitan insiden itu, dengan menyatakan hampir semua mangsa nahas sudah dikenal pasti.

Sementara itu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, hari ini menyifatkan nahas pesawat itu sebagai tragedi 'pahit', namun ia tidak seharusnya membayangi 'pengorbanan' komander tertingginya yang terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS).

"Kemalangan pesawat adalah tragedi pahit, ia menyedihkan hati kita. Tetapi ada yang cuba menggambarkannya sebagai cara untuk melupakan syahid dan pengorbanan besar komander tentera, Qassem Soleimani.

"Musuh kami gembira dengan kemalangan pesawat kerana kami sedih. Mereka gembira kerana dapat mempertikaikan peranan pengawal (revolusi), angkatan bersenjata dan sistem itu," kata Khamenei.

Penembakan pesawat itu secara tidak sengaja sebelum ini mencetuskan tunjuk perasaan yang hebat di Tehran dan bandar-bandar lain.

Khamenei turut mengecam tindakan ratusan penunjuk perasaan yang menghina gambar Soleimani dan mempersoalkan sama ada ia dilakukan rakyatnya sendiri. - Agensi

Berita Harian X