Jumaat, 17 Januari 2020 | 2:23pm
ASAP tebal kelihatan di lokasi serangan tentera Israel di Gaza. - Foto AFP
ASAP tebal kelihatan di lokasi serangan tentera Israel di Gaza. - Foto AFP

Israel lancar serangan terhadap Hamas dua hari berturut-turut

GAZA: Tentera Israel melancarkan serangan terhadap Hamas di Semenanjung Gaza untuk hari kedua berturut-turut dengan menyatakan ia adalah tindak balas susulan kejadian belon membawa peranti letupan dari kawasan itu.

“Sebentar tadi, pesawat pejuang (Israel) menyerang sebuah infrastruktur yang digunakan untuk aktiviti bawah tanah Hamas di utara Semenanjung Gaza,” menurut satu kenyataan tentera.

Katanya, serangan itu adalah tindak balas selepas belon membawa peranti letupan melayang menyeberangi sempadan pada waktu siang.

Belon sedemikian didakwa digunakan dalam cubaan untuk memulakan kebakaran di ladang Israel dan kejiranan berhampiran sempadan.

Sumber keselamatan di Palestin mengesahkan serangan itu mengenai pangkalan milik sayap tentera Hamas, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Rabu lalu, tentera Israel melancarkan serangan terhadap Hamas di Gaza berikutan empat roket dilancarkan dari semenanjung itu.

Israel terbabit dalam tiga peperangan dengan Hamas dan kumpulan sekutunya sejak 2008. - AFP

Berita Harian X