Rabu, 15 Januari 2020 | 5:39pm

Media sosial di Iran gesa rakyat protes kerajaan

DUBAI: Susulan tindakan Iran yang tersalah tembak hingga mengakibatkan sebuah pesawat Ukraine terhempas minggu lalu, media sosial di Iran terus dipenuhi gesaan meminta rakyat negara itu mengadakan protes terhadap kerajaan.

Demonstrasi yang kebanyakannya disertai pelajar, mengadakan perarakan di Tehran serta beberapa bandar lain sejak Sabtu lalu sejurus pihak berkuasa negara itu mengakui peranan mereka dalam nahas pesawat yang mengakibatkan 176 orang terkorban.

Sepanjang demonstrasi itu berlangsung, beberapa penunjuk perasaan berdepan tindakan ganas apabila rakaman video yang tular di media sosial memaparkan beberapa individu dibelasah pasukan polis antirusuhan.

Malah terdapat rakaman video memaparkan kesan darah dan bunyi tembakan di lokasi demonstrasi. Kebanyakan penunjuk perasaan turut menyalakan suar pada waktu malam.

“Kami akan turun di jalanan,” menurut satu status yang tular di media sosial, selain menggesa orang ramai menyertai demonstrasi besar-besaran terhadap kerajaan yang disifatkan sebagai perompak dan korup.

Menerusi rakaman video yang tersebar di media sosial, ribuan penunjuk perasaan berhimpun di beberapa bandar di Iran sejak empat hari lalu dengan tumpuan di Azadi Square di tengah Tehran serta di luar beberapa universiti.

Bagaimanapun jumlah sebenar penunjuk perasaan yang berhimpun dan jumlah mereka yang ditahan tidak dapat disahkan.

Polis Iran menafikan pihak berkuasa itu melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan manakala badan kehakiman negara itu pula berkata pihaknya sudah menahan 30 orang. - REUTERS

Berita Harian X