Isnin, 13 Januari 2020 | 7:42am
PERTEMUAN antara Presiden Iran, Hassan Rouhani dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani di Tehran. - Foto AFP
PERTEMUAN antara Presiden Iran, Hassan Rouhani dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani di Tehran. - Foto AFP

Iran beri bayangan kurangkan ketegangan

TEHRAN: Iran semalam memberi isyarat cenderung untuk mengurangkan ketegangan selepas pertelagahan 10 hari dengan Amerika Syarikat (AS), yang menyaksikan kedua-dua pihak saling berbalas tembakan peluru berpandu, termasuk menembak jatuh pesawat penumpang secara tidak sengaja.

Tahap keselamatan dipertingkatkan di ibu negara Iran selepas upacara memperingati mangsa nahas pesawat malam sebelumnya bertukar menjadi rusuhan, malah polis turut menahan sementara duta British kerana berada di lokasi kejadian.

Presiden AS, Donald Trump, memberi amaran kepada Iran berhubung tindakan mereka yang memudaratkan perusuh dan tidak mengulangi kejadian menimpa penduduk dalam demonstrasi membantah kenaikan harga minyak pada November tahun lalu.

“Kepada pemimpin Iran, JANGAN BUNUH PESERTA TUNJUK PERASAAN,” kata Trump menerusi Twitter.

Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper bagaimanapun berkata presiden masih sedia berunding bersama Iran, walaupun negara Teluk itu enggan mengadakan sebarang mesyuarat bersama Washington selagi sekatan ke atas mereka masih dikenakan.

Tehran berkata, mereka bersedia mengurangkan ketegangan selepas musuh tradisi mereka, Washington melancarkan serangan pada 3 Januari lalu dan mengorbankan jeneral negara Teluk itu, Qasem Soleimani dalam satu serangan dron di Baghdad.

Dalam satu pertemuan antara Presiden Hassan Rouhani dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, kedua-dua pihak bersetuju bahawa mengurangkan ketegangan adalah satu-satunya penyelesaian dalam krisis serantau itu.

Qatar adalah tuan rumah kepada pangkalan tentera AS terbesar di rantau terbabit, namun pada sama, turut menjalinkan hubungan akrab dengan Iran.

“Lawatan ini adalah pada waktu yang amat kritikal di rantau ini. Kami bersetuju bahawa mengurangkan ketegangan dan dialog adalah satu-satunya cara penyelesaian,” kata Sheikh Tamim dalam lawatan rasmi pertama ke republik Islam berkenaan. - AFP

Berita Harian X