Ahad, 12 Januari 2020 | 5:04pm
Lawatan Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi. - Foto mehrnews
Lawatan Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi. - Foto mehrnews

Menteri Luar Pakistan lawat Iran, Arab Saudi

ISLAMABAD: Menteri Luar Pakistan melawat Tehran hari ini, dalam usaha meredakan ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu susulan serangan dron Amerika Syarikat (AS) yang membunuh komander Iran, Qasem Soleimani.

Sepanjang beberapa dekad lalu, Pakistan berusaha mengimbangi hubungan kuat dengan Arab Saudi dan Iran, yang mana kerajaannya bersempadan sejauh 1,000 kilometer.

Lawatan Menteri Luar, Shah Mehmood Qureshi, bertujuan menyampaikan sokongan kepada Iran, sekali gus meredakan ketegangan Asia Barat berikutan kematian jeneral berusia 62 tahun di Iraq dan tindakan Iran menembak jauh pesawat tanpa sengaja membunuh 176 penumpang dan anak kapalnya.

"Perkembangan terbaru mengancam keamanan di rantau yang sudah tidak menentu, memerlukan usaha kolektif supaya ia memberi penyelesaian aman.

“Pakistan bersedia menyokong segala usaha yang bakal memudahkan resolusi dan pertikaian melalui cara politik serta diplomatik,” kata kenyataan Pejabat Luar Pakistan.

Selepas pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Iran, Mohammad Javad Zarif, Qureshi akan meneruskan lawatan ke Arab Saudi.

Pertemuan dengan Menteri Luar Arab Saudi, Faisal Farhan, dijadualkan esok.

Qureshi akan ke AS selepas selesai kunjungannya ke Tehran dan Riyadh, kata sumber Pejabat Luar Pakistan.

Tahun lalu, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkunjung ke Arab Saudi dan Iran dalam usahanya meredakan ketegangan kedua negara itu dengan negara sekutunya.

Pakistan mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi, dengan lebih daripada 2.5 juta rakyatnya hidup dan bekerja di negara itu. - AFP

Berita Harian X