Ahad, 12 Januari 2020 | 11:22am
LOKASI nahas pesawat Ukraine di Iran. - Foto Reuters
LOKASI nahas pesawat Ukraine di Iran. - Foto Reuters

Iran dikutuk, protes selepas akui tembak jatuh pesawat Ukraine

DUBAI: Pengakuan Iran bahawa ia menembak pesawat Ukraine, membunuh 176 di dalamnya, menimbulkan kemarahan antarabangsa dan mencetuskan protes yang semakin meningkat terhadap pihak berkuasa Iran di Tehran dan bandar lain termasuk di mana duta besar Britain ditahan.

  

Dalam apa yang disebut Presiden Hassan Rouhani sebagai "kesilapan bencana", Iran semalam berkata, peluru berpandu yang dilancarkan pada Rabu oleh pertahanan udara tersilap menembak jatuh pesawat itu ketika pihaknya melancarkan serangan terhadap sasaran AS di Iraq.

Iran sebelum itu berhari-hari menafikan ia menembak jatuh pesawat berkenaan.

  

Walaupun pegawai tertinggi Iran dan tentera memohon maaf, protes terhadap pihak berkuasa merebak ke seluruh negara termasuk di ibu negara Teheran, Shiraz, Esfahan, Hamedan dan Orumiyeh.

  

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mengatakan bahawa beliau tidak mahu "perubahan rejim" di Iran, menyatakan sokongannya kepada penunjuk perasaan dengan menulis di Twitter.

"Kami mengikuti dengan rapi protes anda, dan terharu dengan keberanian anda."

  

"Kerajaan Iran mesti membenarkan kumpulan hak asasi manusia untuk memantau dan melaporkan fakta dari lokasi mengenai protes yang sedang berlangsung oleh rakyat Iran. Tidak boleh berlaku satu lagi pembunuhan beramai-ramai terhadap penunjuk perasaan secara aman, atau penutupan internet.

  

Pejabat Luar Britain lewat semalam mengesahkan bahawa duta besar negara itu di Tehran telah ditangkap oleh pihak berkuasa Iran.

Agensi berita Tasnim yang berpangkalan di Tehran berkata, pegawai Britain itu ditahan selama beberapa jam di hadapan Universiti Amir Kabir kerana menghasut penunjuk perasaan supaya anti-kerajaan.

  

"Penangkapan Duta Besar kami di Tehran tanpa alasan atau penjelasan adalah secara terang-terangan pelanggaran undang-undang antarabangsa," kata Setiausaha Luar, Dominic Raab, dalam satu kenyataan. - REUTERS

Berita Harian X