Sabtu, 11 Januari 2020 | 11:59pm
Ketua Bahagian Aeroangkasa, Pengawal Revolusi Iran, Amirali Hajizadeh.
Ketua Bahagian Aeroangkasa, Pengawal Revolusi Iran, Amirali Hajizadeh.

Komander Iran tahu peluru berpandu tembak pesawat Ukraine

DUBAI: Seorang pegawai kanan pasukan Pengawal Revolusi Iran mengakui tahu peluru berpandu negara itu sudah menembak jatuh sebuah pesawat syarikat penerbangan Ukraine pada hari kejadian.

Beliau yang mengambil tanggungjawab penuh atas kejadian itu menjelaskan pasukannya sudah membuat kesilapan ketika mereka dalam keadaan berjaga-jaga berhadapan kemungkinan perang.

Iran hari ini mengakui tenteranya tersilap tembak pesawat Boeing 737-800 Ukraine International Airlines (UIA), mengorbankan semua 176 penumpang dan kru, walaupun sebelum ini menafikan terbabit dalam kejadian itu.

Mangsa nahas itu membabitkan 63 rakyat Kanada, 82 rakyat Iran, 11 rakyat Ukraine, 10 rakyat Sweden, empat rakyat Afghanistan dan masing-masing tiga rakyat Jerman serta Britain.

Ketua Bahagian Aeroangkasa, Pengawal Revolusi Iran, Amirali Hajizadeh yang ternyata kesal dengan kejadian itu mengakui dia lebih rela mati daripada hidup menyaksikan kejadian tragik itu.

Pesawat komersial itu dibedil selepas Iran mula melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Amerika Syarikat (AS) di Iraq bagi membalas dendam atas pembunuhan komander tertingginya, Qassem Soleimani.

Hajizadeh berkata, pada malam sebelum kejadian, tentera sudah membuat persediaan lengkap untuk menghadapi peperangan.

“Pertahanan udara berada pada tahap kewaspadaan tertinggi dan pertahanan tambahan bersiap sedia di sekitar Tehran.

“Komander meminta penerbangan komersial dihentikan tetapi permintaannya itu tidak diendahkan,” katanya.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai serangan peluru berpandu ke atas pesawat penumpang Ukraine pada Rabu lalu.

"Saya memaklumkan kepada pihak berkuasa, tetapi mereka perlu menyiasat kemalangan dan dalam tempoh 48 jam pasukan itu selesai melakukan siasatannya,” katanya.

Jumaat lalu, pegawai Iran dilapor menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Kanada, AS dan negara lain bahawa negaranya menembak pesawat itu.

Hajizadeh berkata, pengendali pertahanan udaranya mempunyai 10 saat bagi memutuskan sama ada untuk menembak atau tidak.

“Dalam keadaan ini, dia (komander) membuat keputusan yang buruk ini," katanya.

Beliau berkata, pengendali sepatutnya mendapat kebenaran daripada seorang penyelia sebelum melancarkan peluru berpandu tetapi dalam kes itu dia tidak melakukannya. - AGENSI

Berita Harian X