Sabtu, 11 Januari 2020 | 6:47pm
Bebahagian serpihan pesawat malang Ukraine yang terhempas di pinggir bandar raya Tehran pada Rabu lalu. - Foto AP
Bebahagian serpihan pesawat malang Ukraine yang terhempas di pinggir bandar raya Tehran pada Rabu lalu. - Foto AP

Data kotak hitam pesawat Ukraine dihantar ke Perancis

TEHRAN: Data kotak hitam pesawat malang Ukraine yang terhempas di pinggir bandar raya Tehran pada Rabu lalu, akan dimuat turun di Perancis, kata ketua lembaga penyiasatan nahas, Pertubuhan Penerbangan Awam Iran.

Bercakap kepada Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), Hassan Rezaeifar, berkata walaupun Iran sudah memanfaatkan semua fasiliti yang ada untuk memeriksa kandungan kotak hitam terbabit, negara berkenaan tidak memiliki teknologi cukup canggih memandangkan pesawat Boeing yang terhempas itu jenis paling terkini dan moden.

Kotak hitam itu akan dihantar ke Perancis supaya datanya boleh dimuat turun dan mengelakkan sebarang kerosakan.

Pesawat penumpang Ukraine jenis Boeing 737-800 itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini Tehran. Kesemua 176 penumpang, termasuk sembilan anak kapal, terkorban.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Rezaeifar berkata, Iran meminta Kanada, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) untuk membawa perisian serta peralatan mereka ke Tehran untuk memuat turun data kotak hitam tetapi negara terbabit enggan menerima cadangan berkenaan.

Kemudian, Iran meminta Ukraine, Sweden, Britain, Kanada, dan AS menghantar kotak hitam ke makmal negara yang berkecuali, iaitu Perancis, dan dipersetujui oleh lima negara berkenaan, kata pegawai itu.

Rezaeifar berkata, Iran dan Perancis ada perjanjian untuk memuat turun data kotak hitam pesawat itu.

Bagaimanapun, semua keputusan itu dibuat sebelum Staf Am Tentera Iran mengeluarkan kenyataan mengenai nahas berkenaan. – BERNAMA

Berita Harian X