Khamis, 9 Januari 2020 | 7:56pm
ANGGOTA penyelamat berada di lokasi pesawat yang terhempas di Iran. - Foto AFP
ANGGOTA penyelamat berada di lokasi pesawat yang terhempas di Iran. - Foto AFP

Pesawat Ukraine terhempas dibedil roket?

KIEV: Serangan pengganas dan dibedil roket antara teori dikaitkan dengan nahas pesawat Ukraine yang terhempas di Iran semalam, mengakibatkan 176 orang terkorban.

Setiausaha Pertahanan dan Keselamatan Ukraine, Oleksiy Danylov, berkata selain serangan pengganas dan dibedil roket, pihaknya melihat pelbagai kemungkinan punca nahas termasuk letupan enjin dan pelanggaran.

Katanya, pasukan penyiasat Ukraine di Iran turut mahu mencari serpihan peluru berpandu milik Russia yang berkemungkinan berada di lokasi nahas selepas penularan laporan di internet mengaitkan bedilan senjata itu.

“Pasukan penyiasat berhubung dengan pihak berkuasa Iran bagi meninjau lokasi nahas dan kami nekad mencari serpihan peluru berpandu Russia kerana ada maklumat di internet mengaitkannya dengan nahas ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleksiy membuat kenyataan itu selepas pasukan penyiasat Iran melaporkan pesawat terbabit terbakar sebelum terhempas.

Beliau merujuk dakwaan dibedil peluru berpandu selepas gambar di media sosial memaparkan serpihan peluru berpandu Russia, Tor-M1 yang sering digunakan tentera Iran.

Oleksiy berkata, Ukraine akan mengguna pakai kepakaran dimilikinya ketika menyiasat kejadian pesawat Malaysia Airlines, MH17, yang ditembak jatuh di timur Ukraine, mengakibatkan 298 orang terbunuh pada 2014.

Pesawat milik syarikat penerbangan Ukraine yang terhempas di barat daya Tehran dan membunuh semua 176 penumpang serta kru didapati terbakar sebelum menjunam, dedah laporan awal penyiasat Iran.

Pesawat Boeing 737-800 milik Ukrainian International Airlines yang dalam penerbangan ke Kiev dengan sebahagian besar penumpang adalah rakyat Iran dan Iran-Kanada itu, terhempas sejurus meninggalkan lapangan terbang Imam Khomeini. - REUTERS

Berita Harian X