Khamis, 9 Januari 2020 | 8:50am
Ahli keluarga mangsa nahas pesawat Boeing 737 yang terhempas di Iran memberi penghormatan di sebuah peringatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Boryspil di luar Kiev, Ukraine. - Foto REUTERS
Ahli keluarga mangsa nahas pesawat Boeing 737 yang terhempas di Iran memberi penghormatan di sebuah peringatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Boryspil di luar Kiev, Ukraine. - Foto REUTERS

Keluarga, rakan mangsa nahas pesawat Ukraine berkabung

TEHERAN: Ahli keluarga dan rakan mangsa nahas pesawat Boeing 737 milik Ukraine International Airlines (UIA) yang terhempas di Iran, mula berkabung berikutan kematian 176 penumpang serta anak kapal, kebanyakannya dari Iran dan Kanada.

Kanada dan Amerika Syarikat (AS) menggesa siasatan penuh dilakukan bagi mengenal pasti punca nahas, yang berlaku tidak lama selepas Tehran melancarkan serangan peluru berpandu terhadap tentera AS di Iraq sebagai tindak balas terhadap pembunuhan komander tertinggi Iran.

Ketika ini, belum ada petunjuk mengenai perbuatan khianat sebagai punca pesawat UIA itu terhempas sejurus selepas berlepas, dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memberi amaran kepada pihak yang mencetuskan spekulasi berhubung nahas terbabit.

Pasukan mencari dan menyelamat dikerah melakukan pencarian di sebalik bangkai pesawat Boeing 737 yang menuju ke Kiev itu, namun pihak berkuasa berkata tiada harapan untuk menemui individu yang terselamat.

Berdasarkan maklumat daripada Ukraine, individu yang berada dalam pesawat itu terdiri daripada 82 warga Iran, 63 warga Kanada, 10 warga Sweden, empat warga Afghanistan, tiga warga Jerman dan tiga warga British, di samping sembilan anak kapal.

Sebahagiannya adalah komuniti warga Iran yang menetap di Edmonton di Alberta, Kanada, di mana seorang penduduk, Payman Parseyan menyifatkan tragedi itu sebagai sangat dahsyat.

“Setiap anggota komuniti ini tersentuh dengan kejadian,” katanya seperti dilaporkan CBC.

Visual yang didedahkan media Kerajaan Iran menunjukkan kawasan padang yang dipenuhi bersama bangkai pesawat yang terbakar.

Beg mayat diatur di atas tanah, manakala barangan peribadi penumpang termasuk bagasi, pakaian, patung Santa Claus dan sarung tangan tinju bertaburan dalam serpihan pesawat berkenaan.

UIA turut menyiarkan senarai nama dan tahun kelahiran penumpang. Sekurang-kurangnya 25 daripada mereka adalah berusia bawah 18 tahun.

Seorang doktor gigi kelahiran Iran, Hamed Esmaeilion, memberitahu Globe and Mail dia sepatutnya menjemput isteri dan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun di lapangan terbang Toronto, sebaliknya terpaksa ke Tehran selepas kedua-duanya maut dalam nahas itu.

“Saya terpaksa pergi. Saya keseorangan di sini (Kanada),” katanya.

Pesawat Boeing 737 yang dibina pada 2016 itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Imam Khomeini, Iran pada jam 6.10 pagi waktu tempatan sebelum hilang daripada radar beberapa minit kemudian. - Agensi

Berita Harian X