Rabu, 8 Januari 2020 | 9:45pm
Anggota penyelamat membawa serpihan pesawat. - Foto AFP
Anggota penyelamat membawa serpihan pesawat. - Foto AFP
Enjen pesawat. - Foto AFP
Enjen pesawat. - Foto AFP
Anggota penyelamat di lokasi nahas. - Foto AFP
Anggota penyelamat di lokasi nahas. - Foto AFP
Barang peribadi milik mangsa. - Foto AFP
Barang peribadi milik mangsa. - Foto AFP

Pesawat Ukraine terhempas diselenggara dua hari lalu

KIEV: Pesawat Boeing 737 milik Ukraine International Airlines (UIA) yang terhempas di Iran dan mengorbankan semua penumpang serta anak kapal, dibina pada tahun 2016 dan diselenggara dua hari sebelum kejadian, kata syarikat penerbangan terbabit.

“Pesawat terbabit dibina pada tahun 2016, diterima terus daripada kilang (Boeing). Kali terakhir pesawat itu diselenggara mengikut jadual pada 6 Januari 2020,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, semua penerbangan menuju ke Tehran digantung bermula hari ini sehingga dimaklumkan kelak.

Presiden UIA, Yevgeniy Dykhne, menegaskan pesawat berkenaan dalam keadaan baik dan dikemudi juruterbang berpengalaman serta terlatih.

“Pesawat itu berfungsi dengan baik. Ia antara pesawat terbaik dengan anak kapal yang cemerlang pernah kami miliki,” katanya menahan sebak dalam satu sesi taklimat.

Yevgeniy bagaimanapun enggan mengulas spekulasi mengaitkan kejadian itu dengan serangan roket yang dilancarkan Iran serta menasihatkan supaya mendapatkan maklumat sahih daripada pegawai rasmi berbanding media sosial.

Ditanya sama ada enjin pesawat terbabit terbakar, beliau enggan membuat sebarang andaian dan hanya memberi maklumat rasmi.

Sementara itu, Timbalan Presiden UIA, Igor Sosnovsky, berkata pesawat itu hilang daripada radar ketika berada pada paras 2,400 meter dan ruang kru melakukan kesalahan adalah minimum.

“Berdasarkan pengalaman mereka, sukar untuk mengatakan bahawa ada sesuatu yang silap dengan kru,” katanya.

Syarikat penerbangan itu kini dalam usaha memaklumkan kejadian terbabit kepada keluarga penumpang serta anak kapal serta memberi jaminan akan melakukan apa sahaja bagi menyiasat punca nahas itu berlaku.

Pesawat itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Imam Khomeini, Iran mengakibatkan 176 orang terbunuh, berlepas dari Tehran pada jam 6.10 pagi waktu tempatan sebelum hilang daripada radar beberapa minit kemudian.

Menurut Kementerian Luar Ukraine, semua mangsa yang terkorban kebanyakannya adalah rakyat Iran dan Kanada. - AFP

Berita Harian X