Selasa, 24 Disember 2019 | 1:41pm
Gambar fail, penunjuk perasaan antikerajaan melindungi diri dengan payung daripada peluru gas pemedih mata yang dilancarkan oleh polis berhampiran Komplek Kerajaan di Hong Kong, China pada 15 September lalu. - Foto REUTERS
Gambar fail, penunjuk perasaan antikerajaan melindungi diri dengan payung daripada peluru gas pemedih mata yang dilancarkan oleh polis berhampiran Komplek Kerajaan di Hong Kong, China pada 15 September lalu. - Foto REUTERS

Penunjuk perasaan Hong Kong rancang protes menjelang Krismas

HONG KONG: Penunjuk perasaan antikerajaan Hong Kong merancang untuk mengadakan perhimpunan ‘silent night’ di pusat beli belah utama dan kawasan popular pelancong pada malam Krismas, walau polis memberi amaran akan bertindak.

Polis berkata mereka tidak akan menutup lalu lintas di wilayah Tsim Sha Tsui, berdekatan tebingan sungai di Pelabuhan Victoria yang menjadi tumpuan utama pelancong pada malam menjelang Krismas.

Tidak seperti tahun sebelumnya, kebanyakan jalan raya tidak akan ditutup dan jumlah anggota polis yang dikerah juga tidak besar, melainkan timbul sebarang masalah, kata polis.

“Seperti tahun sebelumnya, polis tidak akan mengerahkan jumlah anggota yang besar di sepanjang tebingan sungai (waterfront),” kata pesuruh jaya tinggi polis, Wong Chi-wai kepada wartawan.

Sementara itu, laman forum penunjuk perasaan menyebut, mereka merancang untuk berhimpun di beberapa pusat beli belah utama pada malam menjelang Krismas, manakala kumpulan lain pula akan berarak di Tsim Sha Tsui sambil menanti detik Krismas berhampiran tebingan sungai.

Minggu depan, Barisan Hak Asasi Sivil Manusia yang menganjurkan beberapa perarakan terbesar membabitkan jutaan orang, turut memohon untuk mengadakan satu lagi perarakan menjelang Tahun Baru. - Reuters

Berita Harian X