Isnin, 25 November 2019 | 11:06am
Anggota Demokrat yang menang, Kelvin Lam dan aktivis Joshua Wong mengucapkan terima kasih kepada pengundi di luar Stesen South Horizons di Hong Kong hari ini. -Foto Reuters
Anggota Demokrat yang menang, Kelvin Lam dan aktivis Joshua Wong mengucapkan terima kasih kepada pengundi di luar Stesen South Horizons di Hong Kong hari ini. -Foto Reuters
Pegawai membuka kotak undi di stesen pengundian di Kowloon Tong, Hong Kong, hari ini. -Foto Reuters
Pegawai membuka kotak undi di stesen pengundian di Kowloon Tong, Hong Kong, hari ini. -Foto Reuters

Demokrat menang majoriti kerusi pilihan raya tempatan Hong Kong

HONG KONG: Anggota Demokrat Hong Kong mencipta kejayaan mudah dan simbolik dalam pilihan raya majlis daerah selepas kehadiran luar biasa pengundi semalam susulan enam bulan bantahan anti-kerajaan di bandaraya itu.

Dalam suasana tenang hujung minggu yang biasanya dilingkari rusuhan di hab kewangan berkenaan, calon Demokrat di bandar dengan 7.4 juta orang itu memperoleh lebih separuh daripada 452 kerusi majlis daerah buat kali pertama, menentang pembangkang pro-kerajaan yang kuat.

Apabila keputusan mula diterima selepas tengah malam, termasuk kemenangan mengejutkan buat Demokrat ke atas calon pro-Beijing, sesetengah pusat undian bersorak sambil melaungkan ‘Bebaskan Hong Kong. Revolusi Kini,’ slogan sering digunakan ramai penunjuk perasaan jalanan sejak enam bulan lalu.

Sesetengah calon yang menang berkata, keputusan itu bersamaan undian sokongan buat penunjuk perasaan dan mungkin meningkatkan tekanan ke atas Ketua Eksekutif Hong Kong pro-Beijing, Carrie Lam, di tengah krisis politik terburuk di bandaraya itu sejak berdekad lalu.

“Ini adalah kuasa demokrasi. Ini adalah satu tsunami demokratik,” kata Tommy Cheung, bekas pemimpin bantahan pelajar yang menang kerusi daerah Yuen Long, hampir dengan sempadan China.

Undian ditamatkan tanpa sebarang gangguan besar pada hari yang menyaksikan barisan amat panjang di luar pusat pengundian.

Sehingga jam 6 pagi hari ini, calon prodemokrasi memperoleh majoriti jelas dengan memperoleh lebih 300 kerusi daripada 452 kerusi, berbanding 41 kerusi untuk kem pro-kerajaan, menurut anggaran media tempatan.

Dalam undian sebelumnya empat tahun lalu, demokrat hanya memperoleh sekitar 100 kerusi. Hampir tiga juta orang mengundi, kehadiran rekod lebih 71 peratus yang jelas dicetuskan akibat pergolakan, hampir dua kali ganda berbanding sebelumnya.

Majlis daerah Hong Kong mengawal sesetengah perbelanjaan dan membuat keputusan pelbagai isu kehidupan seperti pengangkutan dan kutipan sampah. Mereka juga berkhidmat sebagai platform akar umbi penting untuk menyebarkan pengaruh politik di bandar ditadbir China itu. -Reuters

Berita Harian X