Sabtu, 23 November 2019 | 12:42pm
POLIS menyoal penunjuk perasaan di Hong Kong.
POLIS menyoal penunjuk perasaan di Hong Kong.

Hong Kong bersiap sedia hadapi pilihan raya

HONG KONG: Kampus universiti di Hong Kong yang dikepung lebih seminggu semakin lengang hari ini, dengan segelintir penunjuk perasaan bersembunyi di tempat perlindungan tersembunyi di seluruh bangunan, ketika bandar raya itu memberi tumpuan kepada pilihan raya tempatan.

Seramai 4.1 juta penduduk Hong Kong, daripada 7.4 juta, layak mengundi, sebahagiannya didorong kempen pendaftaran yang dilancarkan ketika bantahan selama beberapa bulan.

Aktivis prodemokrasi muda kini bertanding di beberapa kerusi yang sebelum ini tiada pencabar, dikuasai calon pro-Beijing.

Pengakhiran kepungan di Universiti Politeknik di Kowloon semakin hampir ketika sebahagian penunjuk perasaan terdesak mencari jalan keluar manakala yang lain enggan menyerah diri, beberapa selepas beberapa keganasan terburuk sejak bantahan antikerajaan memuncak Jun lalu.

“Jika mereka menyerbu masuk, ada banyak tempat untuk kami bersembunyi,” kata Sam, pelajar berusia 22 tahun, yang memakan mi segera di kafeteria, sambil merancang pelan melarikan diri.

Polis mendirikan hadangan plastik tinggi dan pagar di atas perimeter kampus, yang dikepung selama lebih seminggu.

Awal hari ini, wartawan Reuters menyaksikan tiga van polis dipandu masuk ketika kira-kira 12 pegawai mengawal.

Kira-kira 1,000 ditahan dalam kepungan di bandar raya itu, 300 daripadanya berusia bawah 18 tahun.

Anggota Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China bersenjata mengawal di dalam Berek Gun Club Hill bersebelahan pagar polis di pinggir universiti.

Awal pagi ini, pegawai jabatan bomba memeriksa sistem kumbahan secara menyeluruh, yang menyaksikan sebahagian pelajar cuba melarikan diri awal minggu ini, meninggalkan beg galas, topeng dan barangan mereka berselerak berhampiran.

Kekecohan di universiti menghampiri pengakhiran ketika rekod 1,104 calon sedia bertanding di 452 kerusi majlis pada pilihan raya esok. — Reuters

Berita Harian X