Jumaat, 11 Oktober 2019 | 8:15pm
 Sekolah Rendah Okawa yang musnah akibat tsunami pada 2011. Foto Agensi
Sekolah Rendah Okawa yang musnah akibat tsunami pada 2011. Foto Agensi

29 keluarga mangsa tsunami terima pampasan RM55 juta

TOKYO: Mahkamah Agung Jepun mengekalkan keputusan pemberian pampasan sebanyak 1.43 bilion yen (RM55.64 juta) kepada keluarga murid sekolah yang dihanyutkan ke laut dalam kejadian tsunami pada 2011.

Dalam insiden itu, seramai 74 pelajar dari Sekolah Rendah Okawa di bandar Ishinomaki lemas, selepas diarahkan menunggu di kawasan sekolah bersama guru mereka, berbanding menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi.

Kira-kira 10 daripada guru terbabit turut meninggal dunia.

Seramai 29 plaintif, iaitu ibu bapa 23 murid yang terkorban dalam bencana itu, dalam hujah mereka berkata, kesemua mangsa boleh diselamatkan jika dipindahkan dengan segera.

Terdahulu, pada 2016, mahkamah daerah Sendai mengarahkan dua kerajaan tempatan membayar pampasan sebanyak 1.43 bilion yen (RM55.64 juta) kepada plaintif.

Pada 2018, Mahkamah Tinggi Sendai mengekalkan keputusan itu, dan semalam, Mahkamah Agung Jepun menolak rayuan kerajaan tempatan.

“Ia adalah satu sejarah. Keputusan itu bermakna mahkamah agung bersetuju dengan mahkamah tinggi bahawa sekolah di seluruh negara perlu melakukan sebaik mungkin bagi memastikan keselamatan kanak-kanak,” kata peguam plaintif, Kazuhiro Yoshioka kepada AFP.

Dalam penghakimannya, mahkamah tinggi memutuskan bahawa guru sepatutnya mampu menjangkakan apa yang bakal berlaku susulan gempa bumi, bahawa tsunami mungkin melanda sekolah itu.

Gempa bumi di bawah laut pada Mac 2011 mengakibatkan tsunami yang memusnahkan kawasan di pesisiran timur laut Jepun, mengakibatkan kira-kira 18,500 maut atau hilang dan tiga reaktor di loji nuklear Fukushima, retak serta bocor. - AFP

Berita Harian X