Rabu, 2 Oktober 2019 | 4:03pm
DUA anak kangaru yang berjaya diselamatkan di Tura Beach. - Foto AFP
DUA anak kangaru yang berjaya diselamatkan di Tura Beach. - Foto AFP

Remaja didakwa sengaja bunuh 20 kangaru

SYDNEY: Seorang remaja didakwa di mahkamah berhubung kematian 20 kangaru, didakwa sengaja dilanggar dengan trak dalam siri pembunuhan yang berlanjutan selama sejam.

Bangkai kangaru termasuk dua ekor anak haiwan itu, ditemui berterabur di atas jalan raya di Tura Beach, 450 kilometer ke selatan Sydney, pagi Ahad lalu.

Sekurang-kurangnya tiga lagi anak kangaru menjadi ‘yatim’ susulan serangan berkenaan, menurut kumpulan penyelamat hidupan liar, WIRES.

Polis berkata hari ini, lelaki berusia 19 tahun itu ditahan dan didakwa dengan kesalahan menzalimi haiwan, semalam.

Dia didakwa melanggar dan membunuh haiwan itu dengan kenderaan pelbagai guna lewat malam Sabtu lalu.

“Kami memandang serius kejadian itu dan sesiapa yang melakukan perbuatan itu akan berhadapan undang-undang,” kata ketua inspektor Bega Valley, Peter Volf.

Walaupun bangkai kangaru di tepi jalan bukan luar biasa di New South Wales, yang menyaksikan 90 peratus nahas kereta disebabkan pertembungan dengan haiwan berkenaan, skala dan tindakan sengaja melakukannya mengejutkan penduduk.

“Ia pemandangan amat tidak menyenangkan.

“Polis melihat banyak benda teruk tetapi anda dapat lihat mereka juga terkejut,” kata seorang penduduk Rob Evans. — AFP

Berita Harian X