Selasa, 24 September 2019 | 10:24pm
Gempa bumi 5.8 magnitud menggegarkan utara Pakistan, hari ini. - Foto EPA
Gempa bumi 5.8 magnitud menggegarkan utara Pakistan, hari ini. - Foto EPA

Sekurang-kurangnya 8 maut, lebih 100 cedera gempa di Kashmir

MUZAFFARABAD: Gempa bumi 5.8 magnitud menggegarkan utara Pakistan, hari ini, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang dan mencederakan 100 mangsa lain, menurut pihak berkuasa.

Gambar dan video media menunjukkan sebuah bangunan runtuh dan rekahan pada jalan raya, cukup besar sehingga boleh memuatkan kereta di Mirpur, kawasan Pakistan dalam wilayah yang dipertikaikan di Kashmir.

Pesuruhjaya daerah, Mohammad Tayyab berkata, lapan orang maut termasuk tiga kanak-kanak. Ketua polis daerah, Irfan Saleem berkata, lebih 100 mangsa cedera.

“Saya sedang di hospital dan dimaklumkan ramai yang cedera dalam keadaan kritikal,” kata beliau menerusi telefon.

Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Asif Ghafoor memaklumkan tentera dengan bantuan udara dan sokongan perubatan sudah dihantar.

“Seluruh tumpuan kami adalah mempercepatkan operasi menyelamat. Ada yang tertimbus dan ada yang memerlukan bantuan.

Orang ramai keluar dari bangunan susulan gempa bumi yang melanda Mirpur, Pakistan. - Foto EPA
Orang ramai keluar dari bangunan susulan gempa bumi yang melanda Mirpur, Pakistan. - Foto EPA

Rekahan di jalan raya di Mirpur, Pakistan. - Foto EPA
Rekahan di jalan raya di Mirpur, Pakistan. - Foto EPA

“Kami menumpukan segala sumber untuk memberikan bantuan yang terbaik,” kata Perdana Menteri wilayah Azad Kashmir, Raja Farooq Haider.

Difahamkan, gempa itu berlaku di lokasi yang terletak 23 kilometer di utara Jhelum, Pakistan pada kedalaman rendah 10 kilometer, lapor Peninjau Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Nasional Pakistan, Leftenan Jeneral Mohammad Afzal kebanyakan kerosakan berlaku di kawasan antara Jhelum dan Mirpur.

Gempa bumi besar terakhir di Kashmir berlaku pada 2005 dan mengorbankan lebih 80,000 orang. - Reuters

Berita Harian X