Ahad, 22 September 2019 | 8:06pm
Sebahagian Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang menyertai perarakan tentera tahunan di Tehran. Foto AFP
Sebahagian Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang menyertai perarakan tentera tahunan di Tehran. Foto AFP

Tentera asing jejas keselamatan Teluk: Iran

TEHRAN: Presiden Hassan Rouhani hari ini, mengutuk kehadiran tentera asing di rantau Teluk dan berkata, Iran sedia mengemukakan pelan damai, selepas Amerika Syarikat mengerah lebih banyak pasukan keselamatannya ke wilayah itu.

“Pasukan tentera asing boleh menimbulkan masalah dan menjejaskan keselamatan rakyat kita dan wilayah ini,” katanya ketika berucap dalam perarakan tentera tahunan di sini.

Beliau berkata, Iran akan mengemukakan pelan damai itu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam tempoh beberapa hari lagi.

Hassan dijangka tiba di New York esok, iaitu sehari sebelum perbahasan pada Perhimpunan Agung PBB bermula.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif dilaporkan sudah tiba di New York.

“Dalam saat sensitif, penting dan bersejarah ini, kami mengumumkan kepada semua jiran kami, bahawa kami ingin memperluaskan hubungan persahabatan dan persaudaraan dengan mereka,” katanya.

Dalam ucapannya, Hassan turut menggesa kuasa asing supaya tidak campur tangan isu di rantau Teluk.

“Jika mereka (kuasa asing) benar-benar ikhlas, mereka tidak akan menjadikan rantau ini lokasi perlumbaan senjata,” katanya.

Ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat serta sekutunya kembali tercetus sejak Mei tahun lalu, apabila Presiden Donald Trump menarik diri dari perjanjian nuklear 2015.

Susulan itu, Washington melaksanakan beberapa sekatan semula bagi meningkatkan tekanan maksimum ke atas Iran.

Ia terus meningkat selepas serangan terhadap kemudahan minyak milik Arab Saudi pada 14 September lalu.

Washington dan Riyadh menyalahkan Tehran atas serangan berkenaan. - AFP

Berita Harian X