Rabu, 18 September 2019 | 2:15pm
Serangan 14 September lalu ke atas dua loji pengeluaran minyak terbesar Arab Saudi adalah insiden terbesar pernah direkodkan. -Foto Agensi
Serangan 14 September lalu ke atas dua loji pengeluaran minyak terbesar Arab Saudi adalah insiden terbesar pernah direkodkan. -Foto Agensi

Arab Saudi tunjuk bukti peranan Iran dalam serangan loji minyak

WASHINGTON: Arab Saudi akan menunjukkan bukti pembabitan Iran dalam serangan ke atas kemudahan minyak utama yang mencetuskan kenaikan harga minyak mentah dunia, lapor sebuah stesen televisyen tempatan.

Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Arab Saudi berkata, ia akan mengadakan sidang media hari ini yang menggariskan peranan Iran serta senjata digunakan dalam serangan Sabtu lalu, kata laporan tanpa memberi masa sebenar.

Amerika Syarikat (AS), sekutu rapat Arab Saudi menyalahkan Iran atas serangan terancang dan berjaya itu, yang pada mulanya didakwa dilakukan pemberontak Houthi di Yaman yang berjuang menentang tentera Riyadh di sana sejak 2015.

“Iran melancarkan serangan tidak dijangka ke atas bekalan minyak dunia,” kata Setiausaha Negara AS Mike Pompeo di Twitter tanpa memberi bukti terhadap tuduhannya menerusi laporan Bloomberg.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, menafikan peranan dimainkan negaranya dalam serangan itu.

Beliau berkata di Twitter, kempen ‘tekanan maksimum’ AS ke atas Iran bertukar kepada ‘penipuan maksimum’ dan menggesa Washington sekali lagi terbabit dalam perbincangan.

Serangan 14 September lalu ke atas dua loji pengeluaran minyak mentah terbesar Arab Saudi adalah insiden terbesar pernah direkodkan, melangkaui kejutan ketika Perang Teluk pada 1990-an dan kerugian hasil keluaran Iran sejak Revolusi Islam 1979. -Agensi

Berita Harian X