Rabu, 18 September 2019 | 1:56pm
Gambar diambil 23 Mei lalu menunjukkan bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Farooq Abdullah, mencatat kejayaan apabila menang kerusi Parlimen. -Foto AFP
Gambar diambil 23 Mei lalu menunjukkan bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Farooq Abdullah, mencatat kejayaan apabila menang kerusi Parlimen. -Foto AFP

India tahan bekas Ketua Menteri Kashmir

NEW DELHI: Seorang bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, dilihat sebagai pro-India, ditahan secara rasmi mengikut undang-undang yang membenarkannya ditahan sehingga dua tahun tanpa didakwa, kata pihak berkuasa semalam.

Farooq Abdullah, 81, ditahan dalam rumah sejak awal Ogos lalu apabila India melucutkan status autonomi Kashmir, melaksanakan perintah berkurung keselamatan dan menahan ratusan ahli politik tempatan termasuk yang menyokong rantau itu menjadi sebahagian India.

Namun semalam, beliau ditahan secara rasmi mengikut Akta Keselamatan Awam (PSA) dan rumahnya bertukar kepada ‘lokap pengadilan,’ kata seorang pegawai kanan polis di Kashmir, Muneer Khan.

Ia adalah kes pertama disahkan seorang ahli politik Kashmir ditahan mengikut PSA sejak tindakan India pada 5 Ogos lalu yang mengerah puluhan ribu askar ke Kashmir dan melaksanakan sekatan komunikasi.

Awal bulan ini, penasihat keselamatan nasional India berkata, majoriti penduduk Kashmir menyokong tindakan itu kecuali ‘minoriti lantang’ disokong Pakistan, dituduh India menyokong pemberontakan berdekad lamanya yang mengorbankan puluhan ribu penduduk.

Namun berikutan perintah berkurung itu, ahli politik pro-India malah lantang membidas campur tangan New Delhi.

Sehari selepas kerajaan India melucutkan status khas itu, Farooq memanjat dinding tembok rumahnya untuk bercakap kepada media dan mengecam tindakan itu. Itu adalah kali terakhir beliau dilihat di khalayak ramai.

“Mengapa mereka tidak boleh menunggu? Selepas 70 tahun, mereka menikam penduduk di negeri ini. Sebaik pintu pagar dibuka, penduduk akan keluar.

“Kita akan berjuang, kita akan pergi ke mahkamah. Kita bukan pelari dihunus senjata, pembaling bom tangan, pembaling batu, kita percaya dalam penyelesaian damai,” kata Farooq.

Pejabat hak asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata pada 2018, undang-undang khas di Kashmir termasuk PSA ‘mewujudkan struktur yang menghalang proses wajar undang-undang, menghalang kebertanggungjawaban dan membahayakan hak memulihkan mangsa daripada pelanggaran hak asasi manusia.’ -AFP

Berita Harian X