Isnin, 16 September 2019 | 9:48am
ASAP tebal kelihatan di lokasi serangan loji minyak milik Aramco di Abqaiq. - Foto Reuters
ASAP tebal kelihatan di lokasi serangan loji minyak milik Aramco di Abqaiq. - Foto Reuters

AS sedia balas serangan loji minyak Arab Saudi

WASHINGTON: Presiden Donald Trump semalam berkata Amerika Syarikat sudah bersedia bertindak balas ke atas serangan di infrastruktur minyak di Arab Saudi yang dipersalahkan ke atas Iran.

Sementara itu, Arab Saudi bergelut memulakan operasi semula di loji yang diserang dron pemberontak Huthi.

Ini adalah kali pertama beliau menunjukkan petanda mengenai tindak balas ketenteraan AS ke atas serangan.

Susulan serangan itu, pengeluaran minyak Arab Saudi dikurang sehingga separuh dan membawa kepada kedua-dua negara mengumumkan kemungkinan mengeluarkan simpanan strategik masing-masing.

“Bekalan minyak Arab Saudi diserang. Ada sebab untuk percaya kita tahu siapa penjahat itu.

“Sudah bersedia sementara menunggu pengesahan tetapi kami menanti pengumuman Arab Saudi siapa yang mereka percaya menyebabkan serangan ini.

“Menurut syarat apa pun, kami akan teruskan!” kata Trump menerusi Twitter.

Pemberontak Houthi di Yaman mendakwa menyerang dua loji minyak milik Aramco kelmarin.

Namun Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, menuding jari ke arah Iran, berkata tiada bukti menunjukkan serangan pertama kali ke atas bekalan minyak dunia itu dilancarkan dari Yaman.

“AS akan bekerjasama dengan rakan dan sekutu untuk memastikan pasaran minyak tetap ada bekalan dan Iran dipertanggungjawabkan di atas serangan itu,” katanya.

Kenyataan itu mengundang kemarahan Tehran, dengan jurucakap Kementerian Luarnya, Abbas Mousavim berkata: “Tuduhan tidak berasas dan membabi buta dan kenyataan itu tidak difahami dan tidak bermakna.”

Tambah beliau, kenyataan bertujuan merosakkan reputasi Iran dan menyediakan alasan untuk tindakan masa hadapan ke atas republik Islam itu. — AFP

Berita Harian X