Jumaat, 13 September 2019 | 9:37pm
PERDANA Menteri Pakistan, Imran Khan. - Foto AFP
PERDANA Menteri Pakistan, Imran Khan. - Foto AFP

Kekejaman India di Kashmir bakal cetuskan keganasan global

MUZAFFARABAD: Operasi India terhadap tunjuk perasaan dan pemberontakan di Kashmir akan menggalakkan ramai penduduk Muslim ke arah keganasan, kata Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.

Beliau berkata demikian, hari ini, ketika berucap di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan.

India menarik balik status khas wilayah Kashmir yang ditadbirnya, pada 5 Ogos lalu, dan bertindak membendung bantahan dengan memutuskan perhubungan dan kebebasan bergerak.

Sejak itu, pihak berkuasa Kashmir di India sudah menahan lebih 4,000 orang, menurut data kerajaan negara terbabit.

“Apabila kekejaman berlaku, manusia akan memilih kematian daripada kehidupan hina. Saya mahu memberitahu India bahawa tindakan menahan ribuan orang hanya menjadikan mereka pelampau.

“Mereka akan bangkit menentang India dan bukan sahaja membabitkan Muslim warga India tetapi 1.25 bilion Muslim di seluruh dunia. Mereka semua memerhati,” kata Khan dalam perhimpunan di Muzaffarabad, ibu wilayah Azad Kashmir. - Reuters

Berita Harian X