Rabu, 4 September 2019 | 7:03pm
Pelanggan melihat siaran langsung ucapan Ketua Eksekutif pro Beijing, Carrie Lam di sebuah restoran makan di Hong Kong. - Foto AFP
Pelanggan melihat siaran langsung ucapan Ketua Eksekutif pro Beijing, Carrie Lam di sebuah restoran makan di Hong Kong. - Foto AFP

Rang undang-undang ekstradisi Hong Kong ditarik balik - Carrie Lam

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong yang berdepan krisis mengumumkan bahawa beliau akan menarik rang undang-undang ekstradisi secara kekal, hari ini, selepas tunjuk perasaan selama tiga bulan menyebabkan kekacauan di bandar itu.

“Kerajaan akan menarik balik rang undang-undang ini secara rasmi untuk meredakan kebimbangan awam,” kata Ketua Eksekutif pro Beijing, Carrie Lam dalam satu kenyataan video.

Dalam mesej yang kelihatan lebih lembut berbanding sebelum ini, Lam merayu supaya penunjuk perasaan tidak bertindak ganas dan berdialog dengan kerajaan.

“Mari gantikan konflik dengan perbincangan dan mari cari jalan penyelesaian. Kita mesti mencari cara menyelesaikan pertikaian dalam masyarakat dan penyelesaian,” katanya.

Penarikan balik rang undang-undang itu adalah satu daripada lima tuntutan utama jutaan penunjuk perasaan dan ia adalah cabaran terbesar pemerintahan China di Hong Kong pasca penyerahannya daripada Britain pada 1997.

Setakat ini, Lam hanya menggantung rang undang-undang itu dan menyifatkannya sebagai ‘mati’ tetapi tidak mengambil langkah membatalkannya secara rasmi di parlimen.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan bahawa pentadbiran beliau mungkin cuba mengaktifkannya, selepas tunjuk perasaan reda.

Dalam mesej beliau, Lam mengesahkan rang undang-undang itu akan ditarik balik, sebaik parlimen dibuka semula, Oktober depan. - AFP

Berita Harian X