Jumaat, 30 Ogos 2019 | 5:55pm
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan (tengah) bersama pemimpin parti di luar pejabat Perdana Menteri, di Islamabad ketika lagu kebangsaan negara itu berkumandang pada demonstrasi anjuran kerajaan. Foto AFP
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan (tengah) bersama pemimpin parti di luar pejabat Perdana Menteri, di Islamabad ketika lagu kebangsaan negara itu berkumandang pada demonstrasi anjuran kerajaan. Foto AFP

Ribuan sertai demonstrasi sokong Kashmir

ISLAMABAD: Aktiviti di beberapa bandar di sekitar Pakistan dilaporkan lumpuh hari ini, selepas ribuan penduduk memenuhi jalan raya dalam demonstrasi anjuran kerajaan, bertujuan menyatakan sokongan terhadap wilayah Kashmir, selepas India menarik balik status autonominya, baru-baru ini.

Selain demonstrasi, lagu kebangsaan Pakistan dan Kashmir turut berkumandang di semua stesen televisyen serta radio, ketika lalu lintas lumpuh, lampu isyarat tidak beroperasi dan perkhidmatan kereta api dihentikan.

Ia susulan kempen anjuran Perdana Menteri, Imran Khan bagi menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap isu wilayah di Himalaya itu.

“Kami sentiasa bersama mereka ketika tempoh sukar ini. Mesej yang ingin disampaikan hari ini, adalah selagi rakyat Kashmir tidak memperoleh kebebasan, kami akan sentiasa bersama mereka,” kata Imran kepada ribuan peserta demonstrasi di Islamabad.

Sejak sekian lama, wilayah yang diduduki majoriti penduduk Muslim itu, menjadi medan pertelagahan antara dua kuasa nuklear, iaitu India dan Pakistan.

Ketika ini, kedua-dua negara itu menguasai sebahagian daripada Kashmir, tetapi menuntut hak ke atas seluruh wilayah berkenaan. - Reuters

Berita Harian X