Rabu, 28 Ogos 2019 | 11:43am
Penutupan ruang udara Pakistan menyebabkan pesawat terpaksa membuat lencongan jauh sehingga menambah kos jutaan dolar. -Foto hiasan
Penutupan ruang udara Pakistan menyebabkan pesawat terpaksa membuat lencongan jauh sehingga menambah kos jutaan dolar. -Foto hiasan

Pakistan mungkin tutup ruang udara kepada India - Menteri

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menimbang menutup ruang udara negaranya kepada India dan menyekat laluan perdagangan darat di timur ke Afghanistan, kata Menteri Sains dan Teknologi Fawad Chaudhry semalam.

Pakistan membuka semula ruang udaranya kepada India pertengahan Julai lalu selepas menutupnya pada Februari selepas serangan kumpulan militan berpusat di Kashmir yang menjurus pertembungan antara dua jiran negara nuklear itu.

Ketegangan dua hala sekali lagi berlaku bulan ini apabila Perdana Menteri India Narendra Modi melucutkan status autonomi khas Kashmir, sekali gus membolehkan penduduk luar wilayah itu membeli hartanah dan bersaing tugas sebagai penjawat awam.

Sejak itu, penunjuk perasaan membaling batu bertembung secara kerap dengan pasukan keselamatan dan tentera Pakistan berkata semalam, serangan tentera India mengorbankan seorang lelaki dan kanak-kanak perempuan.

Fawad berkata, Imran sedang menimbang untuk menutup ruang udaranya kepada India dan laluan daratnya ke Afghanistan.

“Keputusan dari segi undang-undang berhubung keputusan ini sedang dipertimbang. Modi sudah memulakannya justeru kami akan menamatkannya!” kata Fawad menerusi tweet.

Penutupan ruang udara menyebabkan pesawat terpaksa membuat lencongan jauh sehingga menambah kos jutaan dolar.

Dalam tindakan melonggarkan sekatan ke atas orang awam Kashmir, kerajaan Jammu dan Kahsmir berkata, ia membuka semula sekolah tinggi bermula hari ini di beberapa kawasan. -Reuters

Berita Harian X