Isnin, 26 Ogos 2019 | 12:54pm
Bekas presiden Kongres, Rahul Gandhi (tengah) dijemput ke Kashmir oleh seorang gabenor namun wilayah itu beliau dihalang keluar dari lapangan terbang Srinagar oleh pihak polis. -Foto Agensi
Bekas presiden Kongres, Rahul Gandhi (tengah) dijemput ke Kashmir oleh seorang gabenor namun wilayah itu beliau dihalang keluar dari lapangan terbang Srinagar oleh pihak polis. -Foto Agensi

India pertahan tindakan halang Rahul Gandhi lawat Kashmir

NEW DELHI: Pihak berkuasa India mempertahankan keputusan menyekat ahli politik pembangkang negara itu daripada melawat Kashmir yang majoriti Islam, mengatakan tindakan itu bagi mengelak ‘kontroversi,’ beberapa minggu selepas melucutkan status autonomi khas dan melaksanakan sekatan besar-besaran.

Kerajaan nasionalis Hindu India dikritik oleh parti pembangkang utama Kongres berhubung tindakan dipertikaikan itu pada 5 Ogos lalu, sekali gus membawa Kashmir, yang melancarkan pemberontakan bersenjata ke atas kawalan India sejak 1989, di bawah pemerintahan langsungnya.

Rantau itu kekal di bawah sekatan tegas dengan pergerakan terhad dan banyak perkhidmatan telefon dan internet diputuskan, walaupun pihak berkuasa berkata, ia melonggarkan sekatan secara berperingkat.

Bekas presiden Kongres, Rahul Gandhi, masih menjadi individu penting dalam dinasti politik berkuasa Nehru-Gandhi, sebelum itu dijemput gabenor tempatan Satya Pal Malik untuk melawat Kashmir.

Namun video dikeluarkan Kongres menunjukkan Gandhi menyoal pihak berkuasa mengapa beliau ditahan daripada memasuki bandar utama Kashmir di Srinagar di lapangan terbang Sabtu lalu.

“Gabenor mengatakan saya dijemput. Beliau menjemput saya supaya saya datang namun anda mengatakan saya tidak boleh pergi.

“Kerajaan mengatakan segala-galanya OK, semuanya normal. Justeru jika segala-galanya normal, mengapa kami tidak dibenarkan keluar? Ia agak mengejutkan,” kata Gandhi.

Ketua polis serantau, Dilbagh Singh memberitahu AFP, polis menyokong keputusan itu.

“Dalam persekitaran semakin normal, kami tidak mahu sebarang kenyataan kontroversi daripada sesiapa. Justeru sebab itulah mengapa mereka diminta pulang dari lapangan terbang,” kata Singh.

Malik memberitahu agensi berita ANI, beliau menjemput Gandhi atas rasa muhibah namun kemudian mempolitikkan isu berkenaan.

Kontroversi itu muncul ketika kumpulan pemisah utama Hurriyat Conference, pakatan parti politik tempatan, mengeluarkan komen rasmi pertamanya sejak sekatan dan menggesa penduduk tempatan supaya ‘menentang tindakan kritikal’ New Delhi.

“Setiap individu perlu berdepan kekejaman terang-terangan India dengan keberanian. Orang ramai perlu menganjurkan bantahan damai dan demonstrasi di kawasan kediaman mereka,” kata pemisah atasan, Syed Ali Geelani dalam kenyataan. -AFP

Berita Harian X