Sabtu, 10 Ogos 2019 | 11:26pm
Dua juta jemaah Haji berhimpun di Gunung Arafah di luar Mekah, hari ini. - Foto EPA
Dua juta jemaah Haji berhimpun di Gunung Arafah di luar Mekah, hari ini. - Foto EPA

Puluhan ribu pengawal pantau jemaah wukuf di Arafah

GUNUNG ARAFAH: Dua juta jemaah Haji berhimpun di Gunung Arafah di luar Mekah, hari ini, sambil dikawal puluhan ribu pengawal untuk mengelak tragedi rempuhan, tahun lalu, daripada berulang.

Penghadang bergerak turut dipasang di keliling kaki bukit berbatu itu yang turut dikenali sebagai Jabal al-Rahmah di mana ramai jemaah tiba sama ada berjalan kaki atau menaiki bas.

Ramai jemaah cuba mendaki puncak bukit untuk berdoa menghapuskan dosa dan ritual yang dinamakan sebagai ‘wukuf’ itu adalah kemuncak ibadat haji.

“Jujur, saya amat berpuas hati. Keletihan ini adalah sebahagian daripada ibadat haji,” kata salah seorang jemaah dari Mali, Lassina Coulibaly, 47.

Banyak trak turut diletakkan secara kerap di laluan ke bukit itu untuk mengedarkan botol air dan makanan kepada jemaah.

Helikopter turut berlegar di ruang udara, ia adalah sebahagian daripada langkah keselamatan ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Langkah keselamatan itu diambil, selepas kerajaan Arab Saudi dikritik hebat, selepas gagal mengelakkan tragedi rempuhan di Mina pada 2015 yang menyebabkan lebih 2,000 jemaah haji terkorban. - AFP

Berita Harian X