Isnin, 5 Ogos 2019 | 7:45am
Bot milik Kor Pengawal Revolusi Iran mengawal kapal tangki yang ditahan di Bandar Abbas di selatan Iran pada 21 Julai lalu. Foto EPA
Bot milik Kor Pengawal Revolusi Iran mengawal kapal tangki yang ditahan di Bandar Abbas di selatan Iran pada 21 Julai lalu. Foto EPA

Iran tahan kapal tangki ketiga

TEHRAN: Iran dilaporkan menahan sebuah lagi kapal tangki asing di Teluk, menjadikannya yang ketika dalam tempoh sebulan, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan hubungan dengan Amerika Syarikat.

“Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyita sebuah kapal berhampiran Pulau Farsi yang dipercayai membawa kira-kira 700,000 liter minyak yang ingin diseludup,” kata IRGC dalam satu kenyataan yang dipetik agensi berita rasmi IRNA.

Menurut agensi berita FARS, yang rapat dengan IRGC, seramai tujuh anak kapal warga asing ditahan dalam operasi yang diadakan pada malam Rabu lalu itu.

Penahanan terbaharu kapal tangki itu menjadikan ia kes ketiga dalam tempoh kurang sebulan di perairan Teluk, iaitu salah satu laluan utama bekalan minyak dunia.

Namun, identiti kapal tangki terbaharu yang ditahan dan kerakyatan anak kapalnya bagi belum didedahkan.

Sementara itu, ketegangan hubungan antara Iran dan Amerika Syarikat bermula awal tahun ini, selepas Washington mempertingkatkan kempen bagi memberi ‘tekanan maksimum’ terhadap Tehran.

Susulan itu, beberapa kapal diserang, dron ditembak dan kapal tangki dirampas sejak Mei lalu, iaitu setahun selepas Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian nuklear antara Iran dan kuasa dunia, selain melaksanakan sekatan ke atas Tehran.

Pada kemuncak krisis, Presiden Donald Trump membatalkan serangan udara ke atas Iran pada saat-saat akhir, pada Jun lalu, selepas IRGC menembak jatuh dron milik Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, di Kaherah, Kementerian Minyak Iraq berkata, negara itu tidak mempunyai kaitan dengan kapal tangki minyak yang ditahan oleh Iran, semalam, kerana menyeludup minyak.

“Kementerian tidak mengeksport minyak diesel ke pasaran antarabangsa.

“Jadi, pihak berkuasa berkaitan di Iraq sedang mengumpul maklumat mengenai kapal yang ditahan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, dua pegawai di pelabuhan Iraq berkata, laporan awal menunjukkan kapal yang ditahan adalah milik syarikat perkapalan swasta, yang dimiliki pedagang swasta Iraq. - AFP/Reuters

Berita Harian X