Isnin, 22 Julai 2019 | 10:44pm
Gambar fail menunjukkan anggota keluarga mangsa banjir India berteduh di atas pondok dinaiki air di Hatishila, daerah Kamrup, Assam. -Foto AFP
Gambar fail menunjukkan anggota keluarga mangsa banjir India berteduh di atas pondok dinaiki air di Hatishila, daerah Kamrup, Assam. -Foto AFP

650 maut akibat cuaca buruk di Asia Selatan

NEW DELHI: Banjir terburuk dan ribut petir meragut nyawa lebih 650 orang di seluruh India, Nepal, Bangladesh dan Pakistan, kata pihak berkuasa hari ini ketika musim monsun tahunan membawa malapetaka di rantau berkenaan.

Lebih 10 juta orang di negara Asia Selatan terjejas akibat banjir, yang turut memaksa ratusan ribu penduduk berpindah.

Di India, hujan lebat sejak awal bulan ini meragut nyawa sekurang-kurangnya 467 orang dengan kebanyakan daerah di negeri Uttar Pradesh, Bihar dan Assam terputus hubungan akibat banjir.

Di Uttar Pradesh semalam, panahan petir membunuh 37 orang dalam insiden berasingan, kata seorang pegawai pengurusan bencana. Kematian terbaharu itu menjadikan angka maut di negeri utara itu kepada 228 orang.

Lapan kanak-kanak yang bermain di tempat terbuka di daerah Nawada, Bihar juga maut disambar petir Jumaat lalu, menjadikan kematian di negeri timur itu kepada lebih 100 orang ketika sungai melimpah dan menghanyutkan penduduk, kediaman dan ternakan.

Di Assam, 67 maut akibat banjir.

Lebih 70 orang turut maut dalam runtuhan bangunan di negeri Maharashtra dan Himachal Pradesh susulan hujan lebat.

Di Nepal, 90 orang maut dan 29 lagi hilang walaupun keadaan buruk bakal berakhir di negara pergunungan Himalaya itu.

Hujan lebat meragut lebih 97 nyawa di Bangladesh, majoriti akibat lemas dan panahan petir sejak dua minggu lalu.

Sekurang-kurangnya 30 maut di Pakistan. -AFP

Berita Harian X