X
Sabtu, 20 Julai 2019 | 3:45pm
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman.
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman.

Arab Saudi jadi hos tentera AS awasi keselamatan Teluk

RIYADH: Arab Saudi bersetuju menjadi hos kepada pasukan tentera Amerika Syarikat dalam kerjasama dengan Washington untuk meningkatkan keselamatan di rantau itu, kata Kementerian Pertahanan negara itu, ketika ketegangan memuncak di Teluk.

“Berdasarkan kerjasama antara Arab Saudi dan AS, dan keinginan untuk meningkatkan segala-galanya demi memelihara keselamatan rantau ini dan kestabilannya, Raja Salman memberikan kebenaran menjadi hos kepada tentera AS,” jurucakap kementerian yang dipetik oleh Agensi Berita Saudi (SPA) sebagai berkata.

Negara itu tidak menjadi hos kepada tentera AS sejak 2003 apabila ia berundur susulan berakhirnya perang dengan Iraq.

Kehadiran tentera AS di Arab Saudi berlanjutan 12 tahun, bermula Operasi Desert Storm pada 1991, apabila Iraq menceroboh Kuwait.

Sebanyak 200 pesawat AS ditempatkan di pangkalan udara Putera Sultan terletak kira-kira 80 kilometer ke selatan Riyadh ketika kemuncak perang Iraq, dan sebanyak 2,700 misi sehari dikendalikan ibu pejabat di Arab Saudi.

Namun hubungan kedua-dua negara tidak selalunya baik sepanjang kerjasama selama 12 tahun terutama susulan serangan 11 September 2001 di New York yang didalangi pemimpin al-Qaeda kelahiran Arab Saudi, Osama bin Laden.

Ketegangan di Teluk meningkat semalam apabila Iran merampas kapal tangki Britain di Selat Hormuz dan Presiden Donald Trump menegaskan tenteranya menembak jatuh dron Iran yang mengancam kapal tentera laut AS, walaupun dinafikan Tehran. — AFP/Agensi

Berita Harian X