Jumaat, 19 Julai 2019 | 6:28pm
BAYI perempuan kepala tiga yang dilahirkan di sebuah pusat kesihatan negeri Uttar Pradesh, India. - Foto ihsan Mediadrumimages/Newslions
BAYI perempuan kepala tiga yang dilahirkan di sebuah pusat kesihatan negeri Uttar Pradesh, India. - Foto ihsan Mediadrumimages/Newslions

Bayi kepala tiga lahir di India

ETAH: Seorang ibu melahirkan bayi perempuan kepala tiga di sebuah pusat kesihatan negeri Uttar Pradesh, India dan ia menyebabkan ramai doktor negara itu buntu, lapor laman berita The Sun.

Wanita terbabit dilaporkan mengalami kesakitan teruk, sebelum melahirkan anak, Khamis lalu. Apabila lahir, bayi itu mempunyai dua benjolan besar di belakang kepalanya.

Ia adalah sejenis kecacatan kelahiran yang jarang berlaku dinamakan ‘encephaloceles’. Rata-rata keluarga dan doktor terkejut dengan insiden itu kerana wanita terbabit tidak mengalami sebarang komplikasi, ketika mengandung.

Beliau kemudian dirujuk ke hospital daerah di Etah kerana pusat kesihatan itu tidak mempunyai kemudahan perubatan canggih.

Doktor berkata, mereka akan menjalankan imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) untuk menentukan penyakit yang menyebabkan kecacatan itu.

“Ia adalah keadaan perubatan amat jarang. Badan bayi ini tidak berkembang sepenuhnya.

“Kami akan menjalankan imbasan MRI dan melakukan pembedahan pemisahan ‘kepala’,” kata ketua superintendan perubatan hospital daerah Etah, Rajesh Thakur.

Walaupun jarang, ada beberapa laporan bayi dilahir dengan lebih satu kepala terutamanya di Afrika. Menurut Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) di Britain, keadaan itu adalah kecacatan saluran saraf yang menyebabkan tengkorak tidak terbentuk dengan sempurna.

Ia menyebabkan sebahagian tisu otak dan bahagian lain otak berada di luar tengkorak. - Agensi/ The Sun

Berita Harian X