Isnin, 15 Julai 2019 | 6:33pm
Seramai 10 pelombong terperangkap di sebuah lombong arang batu di timur Quetta, Pakistan. Foto hiasan
Seramai 10 pelombong terperangkap di sebuah lombong arang batu di timur Quetta, Pakistan. Foto hiasan

Gas beracun jejas operasi menyelamat 10 pelombong

QUETTA: Sekurang-kurangnya 10 pelombong dikhuatiri terperangkap lebih satu kilometer di bawah tanah, selepas kebakaran akibat litar pintas berlaku di sebuah lombong arang batu di barat daya Pakistan.

Operasi menyelamat turut terjejas apabila kebakaran menyebabkan gas karbon monoksida dibebaskan di dalam lombong, yang terletak kira-kira 35 kilometer di timur Quetta, di wilayah Balochistan.

Menurut seorang pegawai kanan industri terbabit, Abdullah Shahwani, seramai 11 pelombong berada di lokasi yang terletak kira-kira 1,200 meter di bawah tanah, ketika kemalangan itu berlaku.

“Kebakaran tercetus akibat litar pintas membabitkan salah satu kabel di bawah tanah, sekali gus membebaskan gas karbon monoksida yang beracun.

“Seorang pelombong berjaya diselamatkan, tetapi 10 lagi masih terperangkap.

“Namun, usaha menyelamatkan mereka semakin tipis kerana ketika ini, anggota penyelamat hanya berjaya memasuki ke kawasan 360 meter di dalam lombong,” kata Abdullah kepada AFP.

Sementara itu, salah seorang anggota penyelamat, Mohammad Shafqat ketika ditemui AFP, berkata kehadiran gas karbon monoksida menjejaskan lagi usaha menyelamatkan pelombong terbabit.

Lombong berkenaan dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Mineral Pakistan, iaitu syarikat milik kerajaan. - AFP

Berita Harian X