Sabtu, 13 Julai 2019 | 8:36pm
Penunjuk perasaan berkumpul di Sheung Shui, Hong Kong sebelum bertempur dengan Polis anti rusuhan. - Foto AFP
Penunjuk perasaan berkumpul di Sheung Shui, Hong Kong sebelum bertempur dengan Polis anti rusuhan. - Foto AFP

Penunjuk perasaan Hong Kong dan polis bertempur lagi

HONG KONG: Pertempuran terbaru antara polis dan penunjuk perasaan Hong Kong tercetus hari ini ketika bantahan anti kerajaan itu menjadikan peniaga yang datang menyeberangi sempadan dari China sebagai sasaran.

Polis menggunakan penyembur lada dan batang besi bagi mengawal semua peserta di Sheung Shui, pekan berhampiran sempadan China, selepas ribuan orang ramai berarak untuk membantah mengenai perdagangan selari.

Ketiadaan cukai jualan di Hong Kong menyebabkan peniaga tanah besar mampu membeli pelbagai barangan dengan mudah dari deretan kedai kosmetik dan farmasi di Sheung Shui sebelum menjualnya kembali di seberang sempadan.

Wartawan agensi yang berada di lokasi kejadian berkata, penunjuk perasaan menggunakan botol air untuk membersihkan mata mereka dari semburan lada malah darah dilihat turut mengalir dari bahagian kepala seorang peserta .

Hong Kong diselubungi tunjuk perasaan besar-besaran secara aman dan siri keganasan berasingan bersama polis sejak sebulan lalu yang dicetuskan oleh undang-undang membenarkan ekstradisi ke China.

Bulan lalu, bangunan parlimen diceroboh ratusan belia bertopeng yang mengadakan tunjuk perasaan dan melakukan vandalisme.

Rang undang-undang berkenaan bagaimanapun ditangguhkan susulan bantahan keras pelbagai pihak.

Penangguhan terbabit malangnya tidak mampu meredakan kemarahan orang ramai yang merebak kepada gerakan lebih besar, menuntut pembaharuan politik.

Kemarahan terhadap anggota polis juga semakin berlanjutan selepas mereka menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata ke atas peserta. - AFP

Berita Harian X