Khamis, 4 Julai 2019 | 10:09pm
Penunjuk perasaan di Hennessy Road berhampiran ibu pejabat polis ketika perarakan tahunan prodemokrasi di Hong Kong 1 Julai lalu. -Foto The Straits Times
Penunjuk perasaan di Hennessy Road berhampiran ibu pejabat polis ketika perarakan tahunan prodemokrasi di Hong Kong 1 Julai lalu. -Foto The Straits Times

Bantahan baharu Hong Kong dirancang esok, Ahad

HONG KONG: Penunjuk perasaan Hong Kong dilaporkan merancang dua acara bantahan pada esok dan Ahad ini.

Sebuah kumpulan menggelar diri mereka Hong Kong Mothers menggesa penduduk menyertai mereka petang Jumaat (esok) di Chater Garden di Central, bagi berkongsi dan menyuarakan sokongan terhadap penunjuk perasaan golongan muda.

“Kami akan menjadikan suara terkumpul kami didengar pihak berkuasa. Ini adalah masanya mereka bertindak dan memenuhi komitmen untuk melindungi dan menghormati kehidupan.

“Kami akan menggesa kerajaan supaya mendengar dan memberi tindak balas terhadap tuntutan golongan muda dan penduduk Hong Kong lain.

“Hati kami meruntun untuk penunjuk perasaan muda dan kami hanya berharap keamanan dapat dipulihkan dalam masyarakat yang kini berpecah belah.

“Adakah kita berupaya keluar dari zon selesa, duduk dan mendengar suara golongan muda, memahami kesakitan dan pergelutan serta mencari jalan masa depan bersama?” kata kumpulan itu memetik laman web The Straits Times.

Sementara bantahan pada Ahad akan bermula di Salisbury Gardens di kawasan Tsim Sha Tsui bandaraya ini pada tengah hari serta menuju ke arah Stesen West Kowloon Railway, di mana kereta api laju dari tanah besar China, berhenti.

Pneunjuk perasaan menyuarakan bantahan terhadap rang undang-undang ekstradisi kontroversi yang jika diluluskan, akan membolehkan suspek di Hong Kong dihantar ke tanah besar China.

Sambil membincangkan perarakan bantahan dalam talian, mereka berkata, perhimpunan akan menyasar pelancong dari tanah besar dan berkongsi dengan mereka nilai Hong Kong supaya mereka boleh membawanya pulang ke ‘setiap pelusuk China.’

Mereka menggesa bantahan diadakan secara aman, rasional dan tidak ganas.

Media dikawal kerajaan di tanah besar sebahagiannya memandang negatif bantahan itu, memaparkan penunjuk perasaan sebagai golongan radikal ganas.

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam mengutuk serbuan ganas di bangunan Parlimen (LegCo). Setakat ini, polis di bandaraya itu menahan sekurang-kurangnya 13 orang dalam aktiviti berkaitan bantahan.

Ia juga menahan sembilan orang, tujuh lelaki dan dua wanita kerana melancarkan serangan siber atau ‘doxxing’ ke atas laman web polis dan menghasut orang lain melakukan kerosakan.

Doxxing adalah tindakan mendedahkan data peribadi dalam talian dicuri daripada sasaran dengan niat memalukan atau menghasut serangan ke atas mereka. -Agensi

Berita Harian X