Rabu, 3 Julai 2019 | 9:13pm
Rahul Gandhi. - Foto AFP
Rahul Gandhi. - Foto AFP

Rahul Gandhi letak jawatan pemimpin Kongres

NEW DELHI: Rahul Gandhi, 49, meletak jawatan sebagai ketua Kongres, parti pembangkang utama India hari ini, mengakui kekalahan memalukan kepada parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Dilahirkan sebagai anak lelaki, cucu dan cicit kepada bekas Perdana Menteri India, secara tradisi menjamin Rahul menduduki jawatan itu, tetapi keajaiban tiada padanya, pewaris terbaru keluarga paling terkenal dan berpengaruh India itu.

Kongres kelihatan semakin lemah sejak dekad lalu manakala keluarga Gandhi bergelut mengatasi jangkaan menjadi tokoh terbaru India yang sama seperti keluarga Kennedy di Amerika Syarikat.

Tidak mempunyai kaitan dengan wira kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, Rahul dilahirkan pada 1970 apabila neneknya, Indira Gandhi, anak perempuan kepada Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru, menjadi Perdana Menteri.

Pada 1984, Indira ditembak mati pengawal peribadinya dan digantikan anak lelakinya, Rajiv, iaitu bapa Rahul.

Rajiv dibunuh pada 1991 oleh pengebom nekad Tamil ketika Rahul berusia 20 tahun.

Beliau memasuki Universiti Harvard tetapi keciciran selepas setahun, susulan kematian bapanya.

Ibunya yang dilahirkan di Itali, Sonia Gandhi, mengambil alih kepemimpinan Kongres pada 1998 sebelum menyerahkan kuasa kepada anak sulungnya itu pada 2017.

Ketika Sonia kekal sebagai pemimpin, Rahul adalah dalang utama kempen pilihan raya 2014 yang menyaksikan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi menewaskan Kongres. — AFP

Berita Harian X