Selasa, 2 Julai 2019 | 10:32am
Anggota polis memantau keadaan di sekitar Parlimen Hong Kong, ketika pekerja pembersihan membersihkan kawasan sekitarnya, selepas perusuh memecah masuk bangunan itu, semalam. Foto EPA
Anggota polis memantau keadaan di sekitar Parlimen Hong Kong, ketika pekerja pembersihan membersihkan kawasan sekitarnya, selepas perusuh memecah masuk bangunan itu, semalam. Foto EPA

Pemimpin Hong Kong kutuk tindakan perusuh

HONG KONG: Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam hari ini, mengutuk serangan ganas ke atas Parlimen, selepas ribuan penunjuk perasaan memecah masuk bangunan berkenaan, ketika berlangsungnya majlis sambutan ulang tahun penyerahan bandar raya itu kepada China.

Dalam satu sidang media, Lam menyifatkan kejadian berkenaan sebagai amat menyedih dan memeranjatkan dan berharap keadaan negara itu akan kembali seperti seperti biasa, secepat mungkin.

Pada masa sama, beliau menyatakan penghargaan kepada ribuan peserta yang berarak secara aman, sebelum insiden keganasan itu tercetus.

Penunjuk perasaan lengkap bertopeng, sebahagian besarnya golongan muda dab memakai topi kuning, memecah masuk ke dalam bangunan Parlimen, selepas bertempur selama beberapa jam dengan pihak polis.

Selepas memecah masuk bangunan berkenaan, perusuh menconteng dinding dengan lukisan grafiti anti kerajaan, dalam usaha mencabar pihak berkuasa bandar raya itu dan Beijing.

Ketua Polis Hong Kong, Stephen Lo, yang turut hadir pada sidang media itu berkata, tindakan ganas penunjuk perasaan berkenaan, dianggap sudah melampaui had perhimpunan secara aman yang ditetapkan.

Beliau berkata, anggota polis tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa berundur dari Parlimen, dan membenarkan penunjuk perasaan menguasai bangunan itu untuk seketika.

Hab kewangan Asia itu digegarkan dengan demonstrasi besar-besaran selama tiga minggu, yang dicetuskan oleh rang undang-undang yang membenarkan ekstradisi ke tanah besar China.

Namun, ia semakin memuncak semalam, iaitu ke tahap yang tidak pernah disaksikan dalam tempoh beberapa tahun.

Pada masa sama, Lam turut berdepan desakan supaya meletakkan jawatannya. - AFP

Berita Harian X