X
Rabu, 26 Jun 2019 | 1:45am
Penasihat Rumah Putih, Jared Kushner. - Foto fail Reuters
Penasihat Rumah Putih, Jared Kushner. - Foto fail Reuters

Ekonomi pra syarat kedamaian Palestin - Kushner

MANAMA: Penasihat Rumah Putih, Jared Kushner memaklumkan rancangan Asia Barat beliau adalah ‘peluang abad ini’ kepada penduduk Palestin, namun penerimaan mereka adalah syarat untuk kedamaian.

“Persetujuan terhadap masa depan ekonomi adalah pra syarat penting dalam menyelesaikan pelbagai isu politik yang gagal diselesaikan, sebelum ini,” kata Kushner.

Beliau berkata demikian, ketika berucap merasmikan pembukaan sebuah bengkel di Bahrain yang dipulaukan Pihak Berkuasa Palestin.

Walaupun mesyuarat dua hari itu tidak akan membincangkan penyelesaian politik di Asia Barat, Kushner mengakui ia tetap perlu diselesaikan kemudian.

“Jelas, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk Palestin mustahil tanpa penyelesaian politik berkekalan dan adil bagi konflik ini.

“Ia perlu menjamin keselamatan Israel dan menghormati maruah penduduk Palestin,” katanya.

Kushner turut mengakui wujud kesangsian meluas terhadap niat bapa mertuanya, Presiden Donald Trump yang mengambil pendirian pro Israel termasuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Namun, Kushner berkata, penduduk Palestin tidak diberi layanan sepatutnya dalam banyak usaha damai terdahulu.

“Mesej langsung saya kepada penduduk Palestin adalah walaupun apa kata mereka yang mengecewakan kamu pada masa lampau, Presiden Trump dan Amerika masih tidak melupakan kamu,” katanya.

Rancangan ekonomi itu diumumkan Rumah Putih, Sabtu lalu, ia menggesa pelaburan sebanyak AS$50 bilion (RM207.28 bilion) selama 10 tahun untuk wilayah Palestin dan negara Arab jirannya. - AFP

Berita Harian X