Ahad, 16 Jun 2019 | 12:41pm
Gambar dari rakaman video menunjukkan seorang wanita sarat mengandung membawa sup panas (kanan) menuju ke arah wanita dan bayi perempuannya yang sedang duduk (kiri) sebelum insiden tersebut berlaku di sebuah restoran di Xiancheng, Henan.
Gambar dari rakaman video menunjukkan seorang wanita sarat mengandung membawa sup panas (kanan) menuju ke arah wanita dan bayi perempuannya yang sedang duduk (kiri) sebelum insiden tersebut berlaku di sebuah restoran di Xiancheng, Henan.

Simbah sup panas, wanita hamil didenda RM300

ZHENGZHOU: Seorang wanita yang sarat mengandung terbabit dalam pergaduhan selepas bertindak menyimbah semangkuk sup terhadap pelanggan lain dan bayi perempuannya, di sebuah restoran di Xiancheng, di tengah Henan.

Laman web Asiaone melaporkan, wanita berkenaan bertindak demikian selepas berang kerana bayi terbabit membuat bising, apabila mengetuk sudu dengan kuat di atas meja.

Tindakan wanita berusia 28 tahun yang hanya dikenali sebabai Ren itu, berjaya dirakamkan orang ramai.

Kejadian itu mengakibatkan bahagian belakang badan dan punggung bayi berusia 11 bulan berkenaan melecur.

Menurut sumber media China, Ren dikatakan berada dalam keadaan tidak stabil selepas bertengkar dengan suaminya sebelum kejadian itu berlaku.

Terlebih dahulu, wanita itu dikatakan bertengkar dengan ibu bayi terbabit sebelum suaminya memujuk supaya beredar daripada restoran itu.

Kira-kira 10 minit selepas meninggalkan restoran terbabit, Ren kembali untuk membalas dendam dengan membawa semangkuk sup panas, lalu menyimbah ke arah dua beranak itu dan terus meninggalkan restoran tanpa rasa bersalah.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat dan bayi terbabit terus diberikan rawatan.

Menurut ibu bayi terbabit yang dikenali sebagai Yang, bayinya tidak mahu makan atau minum selepas serangan itu dan doktor berkata bayi itu mengalami kejutan.

Susulan kejadian itu, polis Xiangcheng menahan Ren selama 15 hari dan mengenakan denda 500 yuan (RM300), tetapi perintah tahanan ke atasnya dibatalkan, memandangkan dia sedang hamil.

Polis turut mengesahkan Ren membayar bil perubatan mangsa dan sedang menilai tahap kecederaan anak-beranak itu sebelum meneruskan siasatan. - Agensi

Berita Harian X