Jumaat, 14 Jun 2019 | 7:00pm
SETIAUSAHA Negara AS, Mike Pompeo. - Foto AFP
SETIAUSAHA Negara AS, Mike Pompeo. - Foto AFP

Iran sangkal tuduhan serangan kapal tangki

DUBAI: Iran menyifatkan tuduhan Amerika Syarikat bahawa ia melancarkan dua serangan yang menyebabkan dua kapal tangki terbakar di Teluk Oman sebagai ‘tidak berasas’, meningkatkan ketegangan di seluruh rantau itu dan menyebabkan harga minyak dunia naik.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, memberi amaran Washington akan mempertahankan tentera dan sekutunya di rantau itu, dan menekankan kesnya ketika Majlis Keselamatan bermesyuarat mengenai kejadian itu, kali kedua dalam masa sebulan di laluan perkapalan strategik itu.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, dalam tweet hari ini menyatakan pentadbiran AS ‘terlalu cepat membuat tuduhan terhadap Iran tanpa sebarang fakta atau bukti keadaan’.

Beliau menuduh AS mahu ‘mensabotaj diplomasi’ susulan lawatan ke Iran oleh Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, dan menutup keganasan ekonomi yang dilancarkan terhadap Tehran dalam menguat kuasakan sekatan pelbagai hala.

Dengan ketegangan memuncak antara Iran dan AS, Kesatuan Eropah menggesa ‘bertahan pada tahap maksimum’ dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran dunia tidak mampu lagi berhadapan perang besar di Teluk.

Pompeo berkata, ada bukti kukuh pembabitan Iran, selepas tentera laut AS berkata mereka ternampak serpihan periuk api yang tidak meletup di atas salah satu kapal. — AFP

Berita Harian X