Jumaat, 14 Jun 2019 | 10:47am
MIKE Pompeo
MIKE Pompeo

Ketegangan meningkat di Teluk Oman, harga minyak dunia melonjak naik

DUBAI: Amerika Syarikat (AS) menuduh Iran melancarkan serangan yang menyebabkan dua kapal tangki terbakar di Teluk Oman, sekali gus menambah ketegangan di rantau itu dan menyebabkan harga minyak dunia melonjak naik.

Setiausaha Negara Mike Pompeo memberi amaran bahawa Washington akan mempertahankan pasukan serta sekutu mereka di rantau terbabit dan AS terus menekankan kes berkenaan serentak dengan pertemuan bersama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC), iaitu yang kedua di laluan laut strategik itu.

Dengan ketegangan yang semakin meningkat antara Iran dan AS, Kesatuan Eropah (EU) pula mendesak halangan maksimum, selaras dengan amaran ketua Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bahawa dunia tidak mampu menangani persengketaan besar bersama Teluk.

Iran melabelkan serangan terkini itu sebagai mencurigakan, serentak dengan penolakan pemimpin mereka, Ayatollah Ali Khamenei terhadap cadangan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe untuk mengadakan rundingan bersama Presiden AS, Donald Trump.

Pompeo bagaimanapun berkata, terdapat bukti kukuh menunjukkan Iran bertanggungjawab dalam serangan itu selepas tentera laut AS mendedahkan penemuan bom magnetik yang terlekat pada salah satu kapal.

Diplomat kanan AS itu berkata, Iran adalah satu-satunya negara di rantau terbabit yang mampu melaksanakan operasi seumpama itu.

“AS berpendapat Republik Islam Iran bertanggungjawab atas serangan itu. Ini berdasarkan hasil risikan, senjata digunakan dan tahap kemahiran diperlukan untuk mengendalikan serangan dan serangan hampir sama dilakukan Iran baru-baru ini.

“Tiada kumpulan lain di kawasan ini yang memiliki sumber dan keupayaan untuk bertindak seperti itu,” katanya. - AFP

Berita Harian X