Sabtu, 8 Jun 2019 | 5:48pm

Filipina tolak cadangan siasatan bebas pakar PBB

MANILA: Filipina menolak saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melakukan siasatan bebas berhubung pelanggaran hak asasi manusia, malah menyifatkan ia sebagai campur tangan luar terhadap hal ehwal dalaman rantau Asia Tenggara.

Pakar hak asasi PBB mencadangkan agar Majlis Hak Asasi Manusia PBB menyiasat jumlah kematian yang menyalahi undang-undang dan pembunuhan yang dilakukan polis dalam konteks perang yang dikenali sebagai perang dadah serta pembunuhan pembela hak asasi manusia.

Presiden Rodrigo Duterte mengarahkan tindakan keras terhadap pesalah narkotik dilakukan hingga menyebabkan polis membunuh lebih daripada 5,300 pengedar dan penagih dadah yang disyaki sejak beliau memerintah tiga tahun lalu.

Menurut kumpulan hak asasi manusia angka kematian sebenar tiga kali ganda lebih tinggi berbanding apa yang diisytiharkan kerajaan.

“Saranan terkini 11 pelapor khas PBB untuk melakukan siasatan antarabangsa terhadap Filipina bukan saja mencabar secara intelektual tetapi ia adalah campurtangan terhadap kedaulatan Filipina,” kata jurucakap Duterte, Salvador Panelo dalam satu kenyataan.

Panelo menuduh pakar PBB ‘menjaja’ fakta berat sebelah dan palsu semata-mata, ia dipalsukan untuk memburukkan pihak berkuasa.

Katanya, mereka yang menentang kempen presiden menentang dadah dan hak asasi manusia sudah ditolak oleh pengundi Filipina.

Semua 11 pakar PBB adalah penyiasat bebas dan suara mereka tidak mewakili PBB, termasuk pelapor khusus ringkasan atau pembunuhan yang tidak diadili, Agnes Callamard.

Pada 2016, Callamard pernah mencetuskan kemarahan Duterte, ketika dia menyeru supaya pembunuhan perang terhadap dadah dihentikan. - AFP

Berita Harian X