Rabu, 29 Mei 2019 | 9:30pm
Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Srinagar. - Foto AFP
Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Srinagar. - Foto AFP

50 penunjuk perasaan cedera ditembak di Kashmir

SRINAGAR: Sekurang-kurangnya 50 orang cedera susulan pertempuran di Kashmir, India apabila penunjuk perasaan dipercayai membantu pemberontak meloloskan diri dari kepungan pasukan kerajaan, hari ini.

Polis berkata, ribuan penduduk kampung membanjiri jalan raya sejurus dua individu disyaki pemberontak berbalas tembakan dengan tentera dari sebuah rumah di kawasan Kulgam, selatan Kashmir.

Katanya, penunjuk perasaan melemparkan batu ke arah tentera bagi memberi peluang pemberontak melepaskan diri.

Saksi dan pegawai hospital memberitahu AFP, seramai 50 orang dikejarkan ke hospital selepas pasukan kerajaan melepaskan tembakan menggunakan peluru kekacang dan peluru hidup bagi menghalang penunjuk perasaan bertindak agresif.

“Rumah terbabit diletupkan, tetapi militan dapat melarikan diri daripada kekecohan itu. Tiada mayat dijumpai dalam runtuhan rumah itu,” kata pegawai kanan polis yang enggan dikenali.

Pertempuran antara pemberontak yang menentang pentadbiran India di Kashmir dan pasukan kerajaan tercetus hampir setiap hari.

Setakat ini, puluhan ribu orang awam dilaporkan terbunuh sejak insiden pemberontakan yang berlaku sejak tiga dekad lalu manakala lebih 90 militan dilaporkan terbunuh. - AFP

Berita Harian X