Rabu, 29 Mei 2019 | 12:31pm
PEGUAM syarikat, Song Liuping. - Foto Reuters
PEGUAM syarikat, Song Liuping. - Foto Reuters

Huawei guna perintah mahkamah tamat sekatan

SHENZHEN, China: Syarikat Huawei meminta mahkamah Amerika Syarikat untuk mengeluarkan perintah menghapuskan undang-undang Amerika Syarikat yang menyekat agensi persekutuan daripada membeli produk keluaran negara itu.

Peguam syarikat, Song Liuping dalam kenyataan yang disiarkan CCTV berkata, syarikat itu dijangka memfailkan usul ringkasan penghakiman hari ini.

“Undang-undang itu secara langsung menetapkan bahawa Huawei bersalah dan mengenakan beberapa sekatan utama terhadap Huawei,” kata Song.

Syarikat teknologi gergasi itu memfailkan saman terhadap undang-undang Amerika Syarikat itu pada Mac lalu, dengan mengatakan Kongres Amerika gagal mengemukakan bukti untuk menyokong sekatan terhadap produk Huawei.

Tindakan mengemukakan usul ringkasan penghakiman itu bertujuan untuk mendapatkan keputusan hakim tanpa perlu melalui proses perbicaraan sepenuhnya.

“Diharapkan mahkamah Amerika Syarikat akan mengisytiharkan larangan terhadap Huawei adalah tidak berlandaskan perlembagaan dan mencegah penguatkuasaannya,” kata Song.

Tuntutan di mahkamah itu dibuat ketika Huawei turut berdepan perintah eksekutif yang menghalang penggunaan produk keluarannya di Amerika Syarikat dan lebih buruk lagi Amerika bakal menyenarai hitam syarikat itu, menyingkirkan ia daripada senarai pembekal komponen barang keluaran Amerika, walaupun sudah diberi tempoh penangguhan selama 90 hari.

Pada masa sama, Washington turut mengeluarkan amaran kemungkinan sistem Huawei dimanapulasi oleh Beijing untuk mengintip negara lain dan mengganggu komunikasi penting serta menggesa negara lain mengelak daripada menggunakan rangkaian 5G syarikat itu.

Kebimbangan kian memuncak apabila Huawei bangkit sebagai pemimpin dalam dunia peralatan rangkaian telekomunikasi dan antara pengeluaran telefon pintar terkemuka, bersama Samsung serta Apple.

Perjuangan proaktif syarikat itu di mahkamah Amerika Syarikat membuktikan mereka sanggup melakukan apa saja, termasuk menggunakan saluran mahkamah negara, untuk mengelak pengecualian daripada menyertai pasaran 5G - telekomunikasi terpantas masa depan. - AFP

Berita Harian X