Selasa, 28 Mei 2019 | 5:40pm
DUA orang termasuk remaja lelaki berusia 14 tahun terbunuh dalam letupan di sebuah pasar di wilayah majoriti Islam, selatan Thailand. - Foto AFP
DUA orang termasuk remaja lelaki berusia 14 tahun terbunuh dalam letupan di sebuah pasar di wilayah majoriti Islam, selatan Thailand. - Foto AFP

Dua maut serangan di pasar selatan Thailand

PATTANI : Dua orang termasuk remaja lelaki berusia 14 tahun terbunuh dalam letupan di sebuah pasar di wilayah majoriti Islam, selatan Thailand, kata jurucakap tentera hari ini, satu serangan yang dilihat sebagai membalas dendam atas kematian seorang ketua pemberontak.

Tiga wilayah paling selatan di Thailand iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat diselubungi konflik berdarah sejak 2004 antara pemisah dari etnik Melayu - Islam dan kerajaan majoriti Buddha.

Kira-kira 7,000 individu, kebanyakannya orang awam terbunuh dalam keganasan yang jarang mendapat perhatian masyarakat antarabangsa walaupun berlaku di lokasi pelancongan popular negara itu.

Tengahari semalam, pemberontak meletupkan bom di pasar yang padat dengan penduduk di Nong Chik, wilayah Pattani dan mengorbankan dua orang awam.

“Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan wanita berusia 38 tahun maut dalam kejadian itu,” kata jurucakap tentera selatan, Kolonel Thanawee Suwannathat.

Beliau berkata, empat renjer tentera cedera dalam serangan itu.

Letupan berkenaan dipercayai angkara membalas dendam akibat kematian seorang ketua pemberontak yang melarikan diri ke wilayah jiran Yala dan ditembak mati pihak berkuasa selepas kediamannya dikepung.

Suspek berusia 37 tahun, dikenali sebagai Abdulloh Lateh adalah ketua operasi di daerah Yaha. - AFP

Berita Harian X