Selasa, 28 Mei 2019 | 8:34am
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi serangan di Kawasaki, berhampiran Tokyo, hari ini. Foto EPA
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi serangan di Kawasaki, berhampiran Tokyo, hari ini. Foto EPA

Kanak-kanak maut ditikam di Tokyo

KAWASAKI (JEPUN): Seorang murid sekolah maut akibat ditikam seorang lelaki dalam kejadian di sini, hari ini.

Media tempatan melaporkan, lelaki yang juga suspek turut mati, akibat kecederaan parah yang dialami selepas menikam dirinya sendiri.

“Serangan berlaku di Kawasaki, di selatan Tokyo dan kejadian itu turut mengakibatkan 17 mangsa cedera,” kata pegawai kecemasan tempatan kepada AFP.

Insiden itu berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sedang mengadakan lawatan negara ke Jepun dan beliau turut melahirkan rasa simpati kepada mangsa.

Trump ketika mengadakan pertemuan dengan anggota tentera di luar Tokyo, berkata rakyat Amerika Syarikat bersama-sama dengan rakyat Jepun dan turut bersedih dengan mangsa serta keluarga mereka.

Sementara itu, serangan itu berlaku pada waktu puncak ketika pekerja dalam perjalanan menuju ke tempat kerja masing-masing, manakala kanak-kanak ke sekolah mereka.

Media tempatan melaporkan, penyerang membunuh seorang murid sekolah dan suspek yang berjaya ditahan, maut selepas menikam dirinya sendiri.

Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 19 mangsa, termasuk kanak-kanak disahkan cedera akibat ditikam.

“Seorang lelaki menikam mereka. Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 7.44 pagi (waktu tempatan) yang melaporkan bahawa empat murid sekolah rendah ditikam,” kata jurucakap Jabatan Bomba Kawasaki kepada AFP.

Susulan itu, polis berkata, seorang suspek lelaki dipercayai dalam lingkungan usia 40-an hingga 50-an berjaya ditahan, selepas menyerang mangsa di sebuah perhentian bas.

Stesen penyiaran NHK melaporkan, suspek itu yang turut menikam bahunya sendiri, mengalami kecederaan yang serius.

Menurut NHK, dua bilah pisau berjaya ditemui di lokasi kejadian, namun tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Serangan berlaku di sebuah taman tidak jauh dari stesen kereta api tempatan,” lapor media tempatan.

Sementara itu, rakaman yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan menunjukkan beberapa kereta polis, ambulans dan jentera bomba berada di lokasi insiden.

Pada masa sama, khemah turut didirikan bagi membolehkan pasukan perubatan merawat mangsa yang cedera. - AFP

Berita Harian X