X
Selasa, 21 Mei 2019 | 11:36am
Duta Iran ke PBB, Majid Takht Ravancho. - RFE/RL
Duta Iran ke PBB, Majid Takht Ravancho. - RFE/RL

PBB digesa lancar dialog diplomatik selesai konflik di Teluk

TEHRAN: Iran menggesa Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) membantu melancarkan dialog diplomatik bagi meredakan situasi tegang di Teluk.

Duta Iran ke PBB, Majid Takht Ravancho membuat rayuan itu dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) semalam.

Surat berkenaan diutuskan susulan ketegangan yang semakin memuncak Iran, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Arab Saudi serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ahad lalu Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa Tehran akan menemui pengakhiran jika berterusan mengancam Washington.

Sehari selepas itu, Menteri Luar Iran, Javad Zarif mengecam kenyataan itu sebagai ‘ugutan bunuh’ dan menggesa AS untuk menghormati negara Islam berkenaan.

Menerusi suratnya semalam, Ravanchi memberi amaran bahawa konflik terbaru bakal tercetus dari peringkat serantau dan bakal memberi kesan serius ke atas keselamatan serta keamanan antarabangsa.

Beliau berkata, Iran tidak akan memilih untuk berperang namun jika berlaku ke atas mereka, negara itu tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan diri.

Ketegangan terbaru itu bermula awal bulan ini apabila pentadbiran Trump menggerakkan pesawat pengebom serta pengangkut pesawat ke Asia Barat. - Agensi

Berita Harian X